Lihat corak pengundian di Bukit Gelugor, Teluk Intan

KERUSI Parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang dan Teluk Intan di Perak kosong. Ini bermakna selepas satu tahun Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan, dua lagi pilihan raya kecil (PRK) akan mengambil tempat. Sebelum ini, empat PRK melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kuala Besut, Terengganu; Sungai Limau, Kedah; Kajang, Selangor dan Balingian, Sarawak. Dua akibat peletakan jawatan dan dua lagi kematian.

Keputusannya, parti penyandang mengekalkan kedudukan iaitu 2 BN, 1 PKR, 1 Pas. Bagi dua PRK akan datang, kedua-duanya melibatkan kerusi DAP. Setakat ini DAP sudah pasti akan mempertahankan dua kerusi yang dimenanginya itu pada PRU lalu.

Tidak ada istilah memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya berlaku kekosongan pada kerusi yang diwakilinya. PRK perlu dijalankan. Menang atau kalah soal lain lebih-lebih lagi di pihak sebelah lawan, mereka masih teragak-agak membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak. Jarang bagi BN untuk menarik diri daripada pertandingan walaupun sebelum ini perkara itu pernah berlaku di DUN Penanti kerana wakil rakyatnya dari PKR sengaja meletak jawatan, bukan kekosongan disebabkan kematian, masalah kesihatan atau undang-undang.

Begitu juga pada PRU lalu, seorang calon BN tidak menyerahkan kertas pencalonan yang mengejutkan barisan kepemimpinan BN negeri dan Pusat. Apabila berlaku kekosongan di DUN Kajang disebabkan wakil PKR meletak jawatan, BN pada mulanya dikatakan tidak berminat untuk bertanding, mungkin disebabkan prinsipnya tidak mahu mengikut rentak tari pembangkang. Bagaimanapun, BN mengambil keputusan untuk bertanding. Wakil MCA sebagai calon. Mungkin sebagai satu ujian untuk barisan kepemimpinan baharu MCA yang dipimpin oleh Liow Tiong Lai. Calon MCA tewas. Kini sekali lagi kerusi yang diperuntukkan kepada MCA kosong berikutan kematian Karpal Singh. Begitu juga dengan Gerakan yang diperuntukkan kerusi Parlimen Teluk Intan. Berbeza dengan Bukit Gelugor, kerusi Teluk Intan pernah dimenangi Gerakan termasuk Mah Siew Keong yang kini menjadi Presiden baharu parti itu.

Dalam hal ini, adakah BN akan membiarkan sahaja kerusi itu dimenangi DAP secara percuma? Jika ya, kenapa? Adakah kerana Bukit Gelugor pernah diterajui Karpal yang mendapat gelaran Harimau Jelutong? Jika diselak kembali, Karpal pernah ditewaskan oleh calon-calon Gerakan dan MCA pada PRU. Lee Kah Choon yang pada 1999 mewakili Gerakan berjaya mengalahkan Karpal di kawasan Parlimen Jelutong yang dikuasai DAP sejak 1974. Karpal yang menguasai kerusi itu selama lima penggal sejak 1978 tewas dengan majoriti 775 undi pada PRU 1999. Pada tahun yang sama, Karpal juga disingkirkan di kerusi DUN Datok Keramat apabila tewas kepada calon MCA, Lim Boo Chang. Karpal bangkit semula pada 2004 apabila bertanding di kawasan baru yang diwujudkan iaitu Bukit Gelugor yang sebelum itu dikenali sebagai kawasan DUN di bawah Parlimen Bayan Baru.

Pada PRU itu, Karpal menebus kekalahannya dengan mengalahkan Boo Chang. Begitulah kisah kekuatan yang ada pada DAP yang sebenarnya boleh digugat. Tidak dinafikan jika dilihat taburan pengundinya, peluang BN memang tipis atau tidak ada harapan di kawasan Bukit Gelugor kecuali berlaku perubahan sokongan dalam kalangan masyarakat Cina. Di sinilah peranan MCA dan Gerakan untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi Cina. Cabaran ini juga terletak kepada Gerakan yang dipilih menerajui kepemimpinan BN Pulau Pinang melalui Teng Chang Yeow.

Amat penting bagi MCA dan Gerakan untuk memastikan PRK kali ini membawa sesuatu isyarat daripada pengundi-pengundi walaupun kawasan yang ditandingi merupakan kubu kuat DAP. Selepas setahun PRU berlangsung, adakah pengundi-pengundi Cina sudah berubah? Jika berubah ke arah mana? Adakah semakin menerima DAP atau kembali menyokong BN melalui Gerakan dan MCA.

Bukit Gelugor mengandungi DUN Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong yang kesemuanya diwakili DAP. Di atas kertas, BN boleh bertanding sekadar untuk melihat sejauh mana kekuatan yang ada selepas setahun PRU13. MCA pula khabarnya sudah ada calon yang sedia diturunkan, cuma menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan BN. Pada masa yang sama, para pen-gundi serta penduduk di kawasan itu sudah pasti ingin mendengar apa pula janji-janji dan perancangan kerajaan negeri DAP untuk kemajuan rakyat di kawasan itu.

Mungkin penduduk sekitar akan menumpang janji berkaitan isu-isu tempatan termasuk banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri itu semalam. Maka apa yang penting ialah turun bertanding, bukan bercakap soal menang atau kalah. Jika menang dan kalah yang menjadi keutamaan, eloklah selepas ini jika ada mana-mana kerusi yang kosong, biarkan sahaja penyandang menang tanpa bertanding. Dalam menghadapi PRK Bukit Gelugor ini, Gerakan dan MCA khususnya perlu berusaha untuk meningkatkan jumlah undi yang diperoleh pada PRU lalu. Kurangkan majoriti lawan. Itu sudah memadai.

Menyelak PRK Teluk Intan pula, ia mengulangi sejarah pada tahun 1997 apabila PRK diadakan di kawasan berkenaan berikutan kematian Ong Tin Kim dari Gerakan. Pada PRK itu, calon BN, Dr. Chee See Choke dari Gerakan tewas kepada M.Kulasegaran dari DAP. Bagaimanapun pada PRU 1999, Siew Keong menang dengan majoriti 2,783 undi mengalahkan calon DAP. Beliau mengekalkan kerusi itu dengan major-iti 10,041 undi mengalahkan calon DAP dan Keadilan. Siew Keong gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU 2008 apabila calon DAP, M.Manogaran menang dengan majoriti 1,470 undi dan pada PRU lalu, tewas kepada Seah Leong Peng yang menang dengan majoriti 7,313 undi.

Berdasarkan pencapaian Gerakan di kawasan itu, bukanlah mustahil untuk BN merampas kembali kerusi berkenaan. Mungkin sebagai Presiden, Siew Keong sesuai untuk dicalonkan kerana rekod perkhidmatannya sepanjang mewakili penduduk di kawasan berkenaan. Turut akan membantu ialah sebagai anak tempatan. Berbanding DAP, calon-calon yang diturunkan di Teluk Intan silih berganti.

Tentunya Gerakan tidak ketandusan calon jika Siew Keong bukan menjadi pilihan. Inilah peluang terbaik untuk Gerakan mendapatkan kembali kerusi yang pernah dikuasainya dan wakil rakyat kawasan itu pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri. Apa yang penting, Gerakan perlu menurunkan calonnya di Teluk Intan, Begitu juga MCA di Bukit Gelugor. Lihat apakah selepas setahun PRU, corak pengundian sudah ‘berubah’ atau berada pada tahap yang sama.

UMA050514010C_2#

Related posts

Leave a Comment