KAWASAN di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mula dikunjungi anggota-anggota UMNO pelbagai peringkat. Dari Perlis hingga ke Sabah, mereka akan ‘berkampung’ di situ selama lima hari. Turut mengambil peluang peniaga-peniaga dari seluruh negara yang menjalankan pelbagai perniagaan sama ada pakaian, makanan, hiasan, perkhidmatan dan pelbagai produk. Sambil bersidang, perwakilan, pemerhati dan anggota UMNO berpeluang meninjau pelbagai barangan yang dijual. Diharapkan peluang ini juga dapat membantu meluaskan perniagaan para usahawan Melayu ini ke negeri-negeri yang belum diteroka serta mencari peluang baru dalam perniagaan.
Seperti biasa, acara rasmi perhimpunan akan bermula esok dengan Majlis Taklimat Presiden pada sebelah siang dan malamnya berlangsung perasmian serentak Perhim-punan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Berakhirnya perhimpunan ini, maka tinggal satu sahaja parti komponen Barisan Nasional (BN) di Semenanjung iaitu MCA belum mengadakan pemi-lihan dan perhimpunan. MCA yang dijangka menyaksikan pertandingan sengit akan ber-sidang penghujung tahun ini. Memasuki akhir tahun ini, maka tempoh untuk pilihan raya umum berikutnya berbaki kira-kira empat tahun jika diambil kira tempoh penggal Dewan Rakyat kebanyakannya tidak mencecah lima tahun. Tempoh itu sebenarnya tidak lama. Maka sudah tentu parti-parti politik juga mempunyai strategi masing-masing untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Dalam tempoh tersebut, mereka cuba sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan sokongan rakyat. Misalnya kenaikan mendadak gaji atau elaun menteri besar, barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor. Sudah tentu tindakan itu tidak akan dilakukan ketika peng-gal Dewan Undangan Negeri (DUN) mengakhiri hayatnya. Kenaikan itu elok dilakukan sekarang supaya rakyat yang marah (atau penyokong fanatik sambut baik apa sahaja keputusan) pada ketika ini lupa semuanya itu menjelang PRU. Menjelang PRU banyak ‘gula-gula’ diberikan dan ketika itu rakyat lupa kenaikan gaji secara mendadak itu. Ini terbukti pada PRU lalu, walaupun rakyat Selangor sudah tahu manifesto bukan satu janji tetapi mereka terus percaya dengan kerajaan berkenaan dan memberi sokongan yang lebih kuat. Keadaan berbeza jika BN yang melakukannya.
Sudah tertanam dalam fikiran mereka ini apa yang dilakukan BN itu sebagai pembaziran dan menindas. Sebaliknya perkara yang sama dilakukan oleh pihak di sebelah sana sebagai satu keperluan. Begitu juga dengan cukai pintu. Seorang Exco di negeri itu menyatakan walaupun tidak akan berlaku kenaikan pada ketika ini, tetapi kenaikan tidak dapat dielakkan pada masa depan. Alasannya mudah. Mengambil contoh kue tiau yang kalau harganya dulu RM3 tidak mungkin dikekalkan pada harga yang sama sekarang atau setahun dua lagi. Hakikatnya, mereka mengakui keperluan menaikkan harga, menaikkan gaji dan macam-macam lagi. Malangnya apabila kerajaan BN bertindak untuk menaikkan harga barangan tertentu, tarif elektrik dan sebagainya, mereka mula menyalahkan BN.
Begitulah kekuatan yang ada pada pihak sebelah sana yang pandai mewajarkan sesuatu tindakan yang dilakukan mereka. Sudah tertanam dalam benak pemikiran mereka bahawa sebarang kenaikan sebenarnya dilakukan BN. Banyak lagi tindakan termasuk terhadap penjaja yang sebenarnya merupakan satu kewajaran akan dipersalahkan jika BN yang melakukannya. Baru-baru ini, apabila Perdana Menteri, Najib Tun Razak menyentuh mengenai mereka yang tidak membayar cukai sebagai mengkhianati negara, mereka tampil dengan pelbagai kenyataan hanya untuk menghentam Najib berikutan kenyataan itu. Ada yang bertanya bagaimana pula bagi yang hanya membayar zakat, bukannya cukai pendapatan. Puak-puak ini hanya melihat sepintas lalu kenyataan itu tanpa memikirkan siapa yang dimaksudkan oleh perdana menteri. Jika sudah tidak layak membayar, takkan mereka ini akan dilabel mengkhianati negara? Isu-isu kecil dan nampak remeh akan dibangkitkan sehingga PRU akan datang dengan harapan rakyat tidak berpuas hati terhadap kerajaan BN.
Dalam menghadapi serangan seumpama ini, anggota UMNO perlu lebih bersedia untuk memintas atau menjawab balik segala persoalan yang ditimbulkan. Mereka perlu bergerak dalam pelbagai medium termasuk melalui media maya sepantas mungkin. Gunakan kreativiti dalam mencari idea untuk menangkis pelbagai persoalan yang dibangkitkan.
Kembali kepada Perhimpunan Agung UMNO, seperti biasa, sudah tentu banyak isu yang akan dibahas – politik, ekonomi, pendidikan, agama, sosial dan sebagainya. Memandangkan UMNO sudah selesai menghadapi PRU dan pemilihan dalam parti, sudah tentu banyak isu yang boleh dibangkitkan untuk perbahasan bersama. Pada perhimpunan lalu, perwakilan lebih berhati-hati kerana tidak mahu melukakan sahabat-sahabat sama ada di dalam parti atau di luar parti khususnya parti komponen BN. Maklumlah menjelang PRU. Ketika itu mereka sedar semua mata dan telinga tertumpu ke Dewan Merdeka. Tersilap cakap, tersilap kata, tersilap berhujah malahan tersilap bergurau akan menjadi isu besar yang menyulitkan. Malangnya ketika orang Melayu begitu menjaga tutur kata, ada pula pihak sebelah sana yang tidak peduli itu semua. Contohnya label kucing kurap. Memang mudah meminta maaf tetapi kesannya bagaimana. Kini PRU sudah berlalu. UMNO sudah tahu siapa yang menyokong mereka dan siapa pula yang sekadar memberi ha-rapan palsu. Mungkin pada kesempatan ini, mereka boleh meluahkan apa yang terbuku di hati. Nyatakan hakikat sebenar sokongan orang Melayu dan bumiputera sehingga memungkinkan BN terus berkuasa. Tidak keterlaluan juga jika mereka mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan terhadap prestasi rakan-rakan lain. Peringatkan juga pemimpin-pemimpin atasan tentang perlunya membalas balik sokongan yang diberikan oleh orang Melayu dan bumiputera sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pemimpin yang berada di atas kerana sokongan Melayu/bumiputera ini tidak boleh mudah lupa. Jangan kera di hutan disusukan, anak dipangkuan dibiarkan. Peringatkan juga pemimpin tentang perlunya mereka berhati-hati dengan sikap sesetengah orang tentang diberi betis hendak paha.
Pada perhimpunan ini juga, eloklah seluruh anggota UMNO memperbaharui tekad untuk mengukuhkan kekuatan parti, lebih-lebih lagi selepas pemilihan yang lalu. Sepanjang pemilihan lalu, pasti ada yang tidak berpuas hati atau berkecil hati. Umpama biduk berlalu, kiambang bertaut, tamatkan segala prasangka buruk terhadap sesama anggota parti di pelbagai peringkat. Tidak dinafikan banyak cerita tidak enak yang masih berlegar selepas pemilihan. Masing-masing masih menunjukkan keegoan. Sistem pemilihan lalu secara tidak langsung mampu memperlihatkan kekuatan sokongan terhadap seseorang calon terutama di peringkat bahagian. Mereka yang menang tidak menang kesemuanya sokongan yang ada. Maka eloklah yang ‘menang tidak ambil semuanya dan yang kalah hilang segalanya’. Bawalah pemimpin terutama yang tewas pada jawatan tertentu bersama-sama untuk menyumbang kepada parti. Jangan membiarkan mereka yang sebenarnya masih mempunyai sokongan kuat berada di luar gelanggang. Jika pertandingan merebut jawatan sebagai satu pertarungan keluarga, kenapa selepas pemilihan, calon yang tewas langsung tidak diberikan tempat untuk bersama-sama membawa parti ke arah perjuangan yang lebih mantap. Tidak dinafikan ada yang seperti takut kedudukan pada masa depan terjejas dan mengambil tindakan ‘membunuh’ pemimpin yang sebenarnya mempunyai ramai pengikut sama ada di dalam atau di luar parti. Pemimpin tidak boleh lagi sekadar membina kekuatan untuk menjaga kedudukan diri sendiri sebaliknya harus sama-sama membina kekuatan parti supaya disenangi pihak ramai termasuk yang di luar parti. Cukuplah sengketa yang berlaku dalam parti di semua peringkat.
Renungi semula keputusan pada PRU lalu, adakah kekalahan calon UMNO di sesetengah kawasan disebabkan UMNO lemah, pembangkang kuat atau faktor lain yang menyebabkan sokongan kepada calon berkenaan tidak memberangsangkan. UMNO dan kepemimpinan di setiap peringkat perlu berubah untuk melihat kejayaan yang lebih besar pada PRU akan datang. Ingatlah perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air lebih besar dan penting daripada perjuangan peribadi atau kumpulan tertentu. Kepada seluruh perwakilan, serta pemerhati yang akan berkampung di PWTC, diucapkan selamat bersidang. Anda semua bertanggungjawab untuk menentukan sejauh mana keupayaan UMNO pada PRU akan datang.
UMA021213010C001_2