AS beli 500 juta dos vaksin

AMERIKA Syarikat (AS) dilaporkan memberi komitmen untuk menggandakan pembelian vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech untuk dikongsi dengan dunia.

Dalam sidang berkenaan vaksin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Presiden Joe Biden menyokong cadangan untuk memvaksin 70 peratus penduduk dunia.

Beliau dalam masa yang sama turut menggesa negara kaya lain untuk meningkatkan sumbangan vaksin kepada negara membangun dan pendapatan rendah.

Dengan komitmen ini AS akan membeli 500 juta dos tambahan vaksin Pfizer-BioNTech untuk meningkatkan sumbangan vaksin kepada lebih 1.1 bilion dos sehingga 2022.

Sehingga ini 160 juta dos yang diberikan AS telah diedarkan kepada lebih 100 negara termasuk 1 juta dos untuk Malaysia pada Julai lepas.

Jumlah ini adalah lebih besar daripada gabungan semua sumbangan vaksin di serata dunia.

“Untuk lawan Covid-19 di AS, kita perlu kalahkannya di serata dunia. Saya telah berjanji dan akan tunaikan janji tersebut.

“AS akan sumbangkan vaksin, sebagai mana kami telah ‘sebar’ demokrasi pada Perang Dunia Kedua. AS akan beli 500 juta dos vaksin Pfizer untuk didermakan kepada negara pendapatan rendah dan pertengahan. Ini adalah 500 juta dos tambahan yang akan diberikan pada tahun depan,” katanya.

Menurut WHO, sehingga kini 2.4 bilion orang telah divaksin berbanding 7.8 bilion populasi di serata dunia.

Related posts

Leave a Comment