Sabar menanti pilihan raya negeri Sarawak

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang akan diadakan serentak pada 6 Mac ini. Adakah Merlimau dan Kerdau menjadi DUN terakhir dalam siri PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008?

PRK Merlimau dan Kerdau diadakan menjelang genap tiga tahun PRU12 diadakan pada 8 Mac 2008. Kekosongan kerusi di peringkat DUN atau Parlimen perlu diisi sekiranya ia berlaku dalam tempoh tiga tahun usia penggal DUN atau Parlimen.

Ini bermakna, sebarang kekosongan dalam tempoh dua tahun terakhir penggal Parlimen atau DUN tidak akan diisi melalui PRK, kecuali keperluan mendesak seperti kedudukan parti kerajaan pembangkang 50-50 berikutan kekosongan itu.

Walaupun PRU12 akan genap tiga tahun tetapi tempoh yang diambil kira setiap kali PRK perlu diadakan ialah berdasarkan kekosongan dalam tempoh tiga tahun bermulanya persidangan pertama Dewan Rakyat (DR) atau DUN selepas PRU 2008.

Ini bermakna di peringkat DR, usia genap tiga tahun ialah pada 27 April ini mengambil kira persidangan pertama DR yang bermula pada 28 April 2008.

Di peringkat Parlimen, usia lima tahun akan berakhir pada 27 April 2013. Tempoh genap tiga tahun pertama akan berlaku pada 26 April 2011 dan kekosongan kerusi yang berlaku menjelang tarikh itu perlu diisi kecuali berlaku ‘persefahaman’ sebaliknya. Manakala kekosongan mulai hari pertama tahun keempat (27 April 2011) tidak perlu diisi.

Keadaan ini bagaimanapun berbeza dengan DUN yang mempunyai tarikh persidangan pertama yang berbeza. Contohnya di Pulau Pinang, persidangan pertama selepas PRU Mac 2008 ialah pada 21 Julai; Selangor 22 Mei; Pahang 20 Mei; Terengganu 6 Mei dan Johor 9 Jun.

Berdasarkan tarikh itu, maka kemungkinan PRK diadakan lagi tidak mustahil. Namun, kesemuanya bergantung kepada ketentuan Tuhan. Jodoh pertemuan, ajal maut tiada siapa dapat menghalang.

Melainkan seseorang wakil rakyat itu mengosongkan kerusi dengan meletak jawatan seperti yang melibatkan tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini. Setakat ini, 14 PRK telah diadakan dan dua lagi akan menyusul bulan depan. Daripada jumlah ini, PRK disebabkan kematian melibatkan lapan wakil rakyat BN Kuala Terengganu, Sibu, Batu Sapi (Parlimen); Batang Ai, Bagan Pinang, Tenang, Merlimau, Kerdau (DUN); Pas (4) Bukit Gantang (Parlimen), Manek Urai, Permatang Pasir, Galas, (DUN); PKR (1) Hulu Selangor (Parlimen). Tiga lagi PRK melibatkan peletakan jawatan wakil rakyat PKR iaitu Permatang Pauh (Parlimen); Bukit Selambau dan Penanti (DUN).

Selepas siri PRK ini, pastinya tumpuan ke arah negeri Bumi Kenyalang yang ‘tarikh luput’ DUN Sarawak semakin hampir. Hanya tinggal lima bulan lagi jangka hayat DUN Sarawak sebelum berakhir pada 23 Julai ini. Pilihan Raya Negeri (PRN) Kesembilan diadakan pada 20 Mei 2006 dan persidangan pertama DUN Sarawak berlangsung pada 24 Julai 2006.

Maka mahu atau tidak, PRN perlu diadakan dalam tempoh terdekat ini. Penganalisis politik dari Sarawak Dr. Jeniri Amir menjangkakan pada 9 April ini. Jika itu tarikh pilihan, maka DUN akan dibubarkan bulan depan, mungkin selepas berakhirnya Konvensyen BN Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mac ini. Pada pertengahan Mac, Najib sekali lagi akan ke Kuching bersama kepimpinan tertinggi parti komponen BN. Sebelum ini, pada minggu pertama bulan ini, Perdana Menteri mengadakan pertemuan tertutup dengan 62 ADUN BN Sarawak dan semua pemimpin parti komponen BN negeri iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Program Sejiwa Senada yang bermula sejak tahun lalu dijangka mencapai kemuncaknya pada bulan depan di Kuching. Program mendekati rakyat terutama golongan belia ini berlangsung di setiap kawasan dengan pelbagai program seperti sukan, ceramah, pentas rakyat dan pameran perkhidmatan. Festival Belia Sarawak pula akan diadakan melibatkan 71 kawasan DUN di samping Konvensyen Belia Sarawak yang juga dijadualkan pada bulan depan.

Semuanya dilihat sebagai petanda PRN Sarawak semakin hampir.

Pada masa yang sama timbul persoalan sama ada PRN akan diadakan serentak dengan PRU Ke-13 seperti yang hangat diperkatakan sekarang.

Jika serentak, PRU perlu diadakan selewat-lewatnya September 2011. Apa yang pasti Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud yang akan genap 30 tahun memimpin Sarawak pada 26 Mac ini sudah mendapat ilham untuk mengadakan PRN. Jawapan ada pada beliau. Mungkin beliau sedang mencari tarikh yang sesuai untuk mengumumkannya sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran untuk mengadakan PRN Ke-10.

Berdasarkan beberapa PRN lalu, Abdul Taib tidak menghabiskan penggal DUN genap lima tahun, sebaliknya membubarkan DUN dalam tempoh beberapa bulan sebelum berakhir. Tahun 1996, DUN dibubarkan pada 15 Ogos walaupun tempoh berakhir pada 27 Disember. Manakala pada 2001, DUN bubar 3 September sebelum tarikh akhir 17 November.

Sebelum ini, pelbagai pihak meramalkan PRN malahan PRU diadakan pada bulan depan. Bagaimanapun, melihat program BN Sarawak pada Mac ini, ternyata PRN tidak akan diadakan pada bulan berkenaan walaupun dibubarkan pada bulan yang sama. Rekod lalu menunjukkan PRN diadakan dalam tempoh dua hingga empat minggu selepas DUN dibubarkan. Maka, paling cepat tentunya pada bulan April seperti jangkaan ramai. Bulan Mei juga boleh dipertimbangkan apabila terdapat cuti persekolahan yang bermula pada 28 Mei hingga 12 Jun. Jika tidak, Abdul Taib boleh menghabiskan penggal kesembilan DUN Sarawak pada bulan Julai 2011. Jika ini berlaku, ia bermakna PRN akan berlangsung pada bulan September. Walaupun SPR tidak akan mengambil masa yang lama sehingga 60 hari untuk menetapkan tarikh hari pengundian, tetapi Ogos merupakan bulan yang ‘sibuk’. Pertamanya, umat Islam akan memulakan ibadah puasa yang dijadualkan pada 1 Ogos, Nuzul al-Quran (17 Ogos), Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan (30 dan 31 Ogos). Dua acara yang turut melibatkan Sarawak secara langsung pada bulan September ialah Hari Jadi Yang Dipertua Negeri (10 September) dan Hari Malaysia (16 September). Mungkinkah selepas sambutan Hari Malaysia yang sudah mendapat pengiktirafan sebagai cuti umum? Dan 23 September merupakan hari terakhir selepas pembubaran wajib pada 23 Julai 2011. Mungkinkah PRU juga akan menumpang sama tarikh PRN ini?

Apa pun Abdul Taib sudah mendapat ilham. Mungkin Perdana Menteri, Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat juga sudah maklum mengenainya. Bersabarlah menanti pengumuman Ketua Menteri itu selepas banyak petanda sudah berada di depan mata. Dan salah satu petanda yang sering dapat dilihat menjelang PRN Sarawak ialah mengenai janggut Abdul Taib.

UMA210211009C001_2

 

 

Related posts

Leave a Comment