Tenang Palanivel! Masih banyak cabaran

TENANG menjadi gelanggang pertama bagi menguji keupayaan G.Palanivel yang dilantik sebagai Presiden MIC pada 6 Disember 2010. Begitu juga dengan orang No. 2, Dr. S.Subramaniam, Ahli Parlimen Segamat yang juga berjiran dengan Parlimen Labis. Sebagai jiran, tentulah Subramaniam mempunyai sedikit sebanyak pengaruh di kalangan pengundi India.

Palanivel yakin MIC akan memberi sumbangan kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini. Menurut Palanivel, MIC mempunyai 14 cawangan di Tenang dan 1,100 daripada 1,754 pengundi adalah anggota MIC. Apa yang penting bagi MIC ialah memastikan ahli-ahlinya memberi  undi  kepada  BN  dan mencari baki pengundi yang bukan ahli parti itu.

Palanivel tentunya mempunyai  strategi  sendiri  dalam menghadapi PRK Tenang. Mungkin pendekatannya  berbeza dengan apa yang  dilakukan oleh bekas Presiden, S.Samy Vellu.

Selepas mengambil alih jawatan Presiden, Palanivel cuba keluar daripada bayang-bayang Samy Vellu.

Ini kerana anggota-anggota parti serta rakyat mengharapkan pendekatan lebih terbuka daripada Palanivel. Setiap keputusan berkaitan dengan parti dan isu masyarakat India menjadi perhatian. Justeru, beliau tidak boleh cepat melatah dalam satu-satu isu, lebih-lebih lagi terlalu mengikut rentak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sengaja memanipulasikan isu. Dalam isu Interlok misalnya, ia memerlukan penyelesaian yang baik. Seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bahawa perbincangan dengan MIC akan diteruskan sebelum Kabinet membuat keputusan muktamad. Palanivel perlu mendapatkan maklumat tepat mengenai keputusan Kabinet. Di sinilah pentingnya Presiden  dalam  Kabinet. Bagaimanapun peranan ini boleh dimainkan melalui orang No. 2 yang duduk dalam Kabinet.

Dalam membina semula kekuatan MIC, Palanivel juga memerlukan sokongan setiap pemimpin dan anggota parti di semua peringkat. Mereka perlu mengikis sikap terlalu ghairah mengejar kuasa dan jawatan sehingga sanggup mencantas antara satu sama lain.

Pada masa yang sama Palanivel juga perlu berani mendekati mereka yang sudah ‘dibuang’ dan ‘diasingkan’ oleh bekas Presiden. Lebih-lebih lagi mereka yang ‘dihukum’ sama ada dipecat atau ‘disisihkan’ sekadar kesalahan ‘menentang’ Presiden. Dalam hal ini, Palanivel sudah pun menegaskan untuk memaafkan mereka dan menerima kembali ke pangkuan parti.

Harus diingat bahawa mereka ini sama ada dipecat, digantung dan disisihkan juga mempunyai ramai penyokong. Antaranya Kumar Aamaan, K.P Samy dan V.Mugilan. Setakat ini, Palanivel sudah menerima kembali bekas Ketua Bahagian Petaling Jaya Selatan, V.Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Bharat Maniam dan bekas Timbalan Ketua Bahagian Hulu Selangor, V.S. Chandran. Begitu juga dengan penyokong-penyokong lain yang sama ada meninggalkan MIC kerana merajuk disebabkan pemecatan atau ‘penyisihan’ pemimpin mereka.

Perlu diselak kembali, sepanjang Samy Vellu menjadi Presiden, banyak parti politik baru di kalangan masyarakat India ditubuhkan. Walaupun ada di antaranya ‘hidup segan mati tak mahu’ tetapi tidak kurang juga yang mendapat sokongan kuat terutama Barisan Progresif India (IPF).

Palanivel juga tidak boleh melupakan pemimpin yang sengaja diasingkan daripada arus perdana parti itu. Contohnya, bekas Timbalan Presiden, S.Subramaniam yang gagal mempertahankan kedudukannya setelah dicabar Palanivel pada 2006 yang mendapat sokongan Samy Vellu.

Bagaimanapun sikap terbuka Palanivel sudah dilihat melalui rombakan kecil kepimpinan parti baru-baru ini.

Beliau melantik S.Murugesan sebagai Ketua Penerangan menggantikan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan; melantik veteran MIC, K.S Nijhar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Organisasi; Naib Presiden S.K Devamany mengetuai Jawatankuasa Industri Kecil dan Sederhana manakala anak Samy Vellu iaitu S. Vell Paari mengetuai Biro Media Baru.

Seorang penganalisis politik, B.Anbumani menyifatkan rombakan ini dapat memperkasakan proses transformasi politik dalam MIC. Malahan ia juga dianggap permulaan baik untuk Palanivel bagi memastikan MIC terus relevan dalam kancah politik nasional.

Memang tidak dinafikan Palanivel berdepan pelbagai cabaran getir untuk meneruskan perjuangan politik MIC termasuklah  membersihkan imej parti dari kaca mata rakyat selepas tsunami politik 2008.

Justeru Palanivel perlu diberikan kebebasan untuk membuat keputusan politik demi masa depan parti dan segala keputusan perlu mendapat mandat Jawatankuasa Pusat MIC (CWC) serta ahli-ahli parti bagi memastikan proses pelaksanaan ataupun implementasi politik berjalan lancar.

Kata Anbumani, selepas mengambil alih, Palanivel telah menunjukkan pendirian berdikari yang berani dalam politik demi masa depan parti dan masyarakat India.

Sesuatu yang menarik untuk dianalisis dalam tempoh terdekat ini tentulah pelantikan Murugesan yang ‘disingkirkan’ oleh Samy Vellu dari jawatan Setiausaha Agung menjelang pemilihan parti lalu.

Pelantikan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih terbuka dan matang. Janganlah ada pihak yang sengaja bermain dengan persepsi dan spekulasi yang bukan-bukan. Tidak ada dendam politik.

Kamalanathan yang juga Ketua Penyelaras Putera MIC perlu diberikan ruang yang lebih luas untuk memperkukuhkan Putera bagi menarik lebih ramai generasi muda menyertai MIC.

Kata Anbumani, seseorang pemimpin tidak seharusnya dibebani dengan banyak jawatan parti tetapi perlu diberi ‘pengkhususan tanggungjawab politik’ demi memastikan misi dan matlamat parti dapat dicapai.

Bagi Anbumani, sudah sampai masanya peranan Ketua Penerangan MIC di semua peringkat parti dikemaskini, disesuai dan dinilai semula bagi memastikan hubungan dua hala yang lebih cekap di kalangan ahli-ahli, bukan sekadar memaklumkan perjalanan mesyuarat MIC melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.

Jawatan Ketua Penerangan perlu dijadikan ‘agen penerangan’ di semua peringkat khususnya mengenai isu-isu semasa termasuk di media massa dan media alternatif. MIC perlu menjalankan lebih banyak program bercirikan ‘penerangan isu semasa’ kepada ahli-ahli di akar umbi.

Sekali lagi Palanivel perlu ingat bahawa segala keputusannya berkaitan dengan parti dan isu masyarakat India akan menjadi perhatian ramai. Bukan setakat ahli-ahli tetapi rakyat seluruhnya. Inilah cabaran besar Palanivel, seorang pemimpin yang selama ini dilihat sentiasa tenang. Beliau harus terus tenang tetapi biarlah tenangnya ibarat air tenang jangan disangka tiada buaya! supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap sikap tenangnya.

UMA240111013C001

Related posts

Leave a Comment