RM8.8 bilion tingkat infrastruktur

MAKKAH: Arab Saudi membelanjakan SR7 billion (RM8.8 bilion) dalam penyediaan infrastruktur dan elektrik bagi menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji sambil menekankan aspek keselamatan

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Diraja untuk Kota Makkah dan Tapak Suci, Saleh Al-Rasheed, berkata lebih 70 juta penumpang mendapat manfaat daripada stesen pengangkutan yang dibangunkan.

Merujuk kepada penyiapan jalan lingkar di Makkah bertepatan dengan ibadah haji musim ini, beliau berkata, matlamat suruhanjaya adalah menaik taraf perkhidmatan kepada tetamu Allah.

Memetik laporan Saudi Gazette, beliau memberitahu demikian pada Simposium Haji ‘Usaha kerajaan untuk memudahkan kerja-kerja haji’.

Mengenai Projek Daging Korban, beliau berkata lebih sejuta ekor kambing biri-biri akan disembelih dan dagingnya akan diagihkan kepada golongan miskin di lebih 27 negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Haji dan Umrah Saudi, Dr Abdel Fattah Mashat berkata, Arab Saudi mengeluarkan satu juta visa haji sejak proses itu dilaksanakan 9 Mei lalu.

Beliau berkata pengeluaran visa haji adalah proses terakhir selepas pihak berkuasa menyelesaikan perkara lain seperti penyediaan kemudahan dan perkhidmatan untuk jemaah selain penjadualan pengelompokan dan pergerakan jemaah.

Katanya, kementerian menggunakan teknologi dalam melaksanakan penjadualan kumpulan jemaah, menetapkan peranan dan mewujudkan komunikasi dengan pejabat jemaah haji.

Dr Abdel Fattah, berkata kad Nusuk antara perkhidmatan teknikal yang menyumbang kepada operasi pengelompokan jemaah dan menahan jemaah yang melanggar peraturan.

Belau berkata sistem haji adalah sistem kompleks yang merangkumi banyak aspek, seperti perundangan, keselamatan dan kesihatan.

“Tapak Suci adalah bandar kosong yang berubah dalam masa 24 jam menjadi bandar dengan kesibukan jutaan jemaah. Terdapat juga perubahan besar dalam budaya penganjuran haji di kementerian daripada bekerja dalam masa terhad kepada persediaan awal sepanjang tahun,” katanya.

Tahun lalu kementerian melancarkan piagam untuk persediaan awal yang tidak pernah berlaku sebelum ini sebaik tamat musim haji.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penguasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi (SFDA) Dr Hisham Aljadhey, berkata proses pengesahan makanan jemaah bermula dengan ladang dan sumber bahan makanan, melalui penelitian pembekal dan pengilang sehingga makanan tiba kepada jemaah haji.

Beliau menekankan kesungguhan SFDA dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan jemaah mengenai cara menangani keselamatan makanan, dengan kandungannya diterjemahkan ke dalam enam bahasa.

“Dari tahun ke tahun, kami membangunkan amalan dalam memastikan keselamatan pemakanan tetamu Allah dan kami membolehkan rombongan haji membawa ubat-ubatan yang diperlukan jemaah.

“Kami mengaudit konsainan untuk memastikan keselamatan mereka, dan menyediakan ubat yang sama seperti diterima penghidap penyakit kronik,” katanya.

Datuk Bandar Makkah, Musaed Al-Daoud pula berkata membangunkan kualiti hidup di Makkah adalah antara matlamat utama yang mereka usahakan, termasuk merancang semula dan mereka bentuk kawasan yang sesak supaya sesuai untuk pengguna tanpa mengira keadaan mereka. Ia mempunyai kapasiti keseluruhan 1.7 juta jemaah.

Beliau juga menegaskan pihak berkuasa tempatan Makkah menggunakan teknologi terkini untuk memantau kebersihan dan pengurusan sisa, dengan penerusan operasi sanitasi alam sekitar dan kawalan serangga.

Al-Daoud berkata terdapat 328 dapur pusat berlesen untuk menyediakan makanan dan ia dilengkapi dengan piawaian dan keperluan dengan keselamatan makanan dipantau melalui 450 pemerhati dan makmal tetap serta bergerak untuk memeriksa sampel.

Perkhidmatan perbandaran di Al-Mashaer tertakluk kepada pengawasan melalui 1,500 pemerhati yang melakukan perjalanan menggunakan basikal dan helikopter.

Katanya, kerja kawalan makanan merangkumi bangunan, restoran, katering dan sektor komersial.

Nnn

Related posts

Leave a Comment