27 kilang Top Glove ditutup

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Satu pasukan khas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove yang menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah kes di seluruh negara ketika ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu melibatkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

Langkah itu juga, dibuat susulan aduan daripada penduduk yang bimbang dengan situasi di lokaliti berkenaan.

“Kita kerap mendapat mesej penduduk sekitar yang risau tentang keadaan itu. Maka, satu pasukan khas telah diwujudkan bagi selaraskan gerak kerja melibatkan saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan 28 kilang ditutup bagi proses saringan.

Menurut Ismail Sabri, secara keseluruhannya, kilang Top Glove berkenaan mempunyai 11,215 pekerja.

“Sehingga 24 November 2020, 5,795 ujian dilakukan dan 2,684 kes positif direkod. Sehingga semalam, daripada 28 kilang, 20 kilang ditutup manakala, hari ini, tujuh lagi ditutup dan sebuah lagi menyusul,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, bagi mengelak penularan pandemik itu, pengurusan kilang juga diarah menjalankan saringan ke atas 2,263 pekerja yang tinggal di luar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan akan dikuarantin.

“Sebab mereka ada asrama dan rumah sewa. Namun ada juga yang tinggal di tempat lain. Jadi kita sudah arahkan mereka membuat saringan dan dikuarantin,” katanya.

Justeru, beliau berharap penduduk berhampiran tidak bimbang kerana pekerja mereka disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin.

Mengulas aduan orang ramai yang mendakwa ada melihat pekerja asing bebas bergerak, beliau berkata, masyarakat tidak boleh dengan mudah membuat tuduhan sedemikian sebelum memperoleh maklumat yang jelas.kerana ia mungkin bukan dari Top Glove mungkin disebabkan banyak kilang lain di kawasan itu.

Katanya, kesemua pekerja Top Glove yang positif Covid-19, sudah dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, sementara mereka yang negatif pula telah dikuarantin di hotel-hotel ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment