Jangan main-main dua pilihan raya kecil

BELUM pun reda isu peralihan kuasa kerajaan negeri Perak, dua pilihan raya kecil di utara yang melibatkan Kedah dan Perak kini menjadi tumpuan. Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac lalu belum mencecah usia setahun tetapi pelbagai kejutan politik berlaku dalam negara. Selepas berakhirnya tsunami politik pada pilihan raya umum lalu, terdapat perubahan jumlah kerusi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Setakat ini BN kehilangan satu kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen. BN kehilangan kerusi DUN Sanglang, Perlis apabila Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kerusi DUN itu yang dimenangi Abdullah Hassan dikosongkan dan Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengisytiharkan kerusi itu diserahkan kepada calon Pas, Hashim Jasin.
Manakala kerusi Parlimen Kuala Terengganu terlepas kepada Pas dalam satu pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Januari lalu berikutan kematian Razali Ismail.

Sebelum itu, BN kehilangan dua kerusi Parlimen apabila Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan BN dan wakil rakyatnya menjadi anggota Bebas. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula hilang tiga kerusi – satu di Kedah dan dua di Perak.

Di Kedah, iaitu di Bukit Selambau, wakil rakyatnya yang bertanding atas tiket Bebas kemudiannya menyertai PKR meletak jawatan manakala di Perak, PKR hilang dua kerusi apabila wakil rakyatnya menyertai Bebas. DAP juga hilang satu kerusi DUN apabila wakil rakyatnya di Perak menyertai Bebas yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan pakatan DAP-Pas-PKR.

Pas pula ketika masih meratap tumbangnya kerajaan negeri dan hilangnya gelaran Menteri Besar terpaksa menerima hakikat kehilangan kerusi Parlimen Bukit Gantang apabila wakil rakyatnya meninggal dunia.

Begitulah senario politik selepas pilihan raya umum yang menyaksikan perubahan kerusi parti politik di DUN dan Dewan Rakyat. Perubahan besar di Perak menyebabkan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Kedah dalam kegelisahan bimbang peristiwa lompat parti berlaku di negeri-negeri itu.

Selepas ini kerusi Pensiangan pula menjadi perhatian. Sebagai catatan setakat ini di Parlimen, BN mempunyai 137 kerusi berbanding 140 sebelum ini, diikuti PKR 31, Pas 23 (22), DAP 28 dan Bebas 3 (1). Tentunya Bukit Gantang dan Selambau menjadi perhatian sama ada Pas dan PKR yang menjadi penyandang kerusi itu mampu mengekalkan kedudukan masing-masing.

Namun belum pun SPR menetapkan hari pilihan raya kecil baru-baru ini, banyak orang sudah bercakap mengenai siapa mahu bertanding. Tidak kurang juga apabila BN kembali berkuasa di Perak. Maka ada permintaan itu dan ini daripada parti-parti tertentu supaya orang mereka diberi tempat. Di pihak kerajaan negeri terdahulu juga nampak kelam-kabut apabila mereka masih belum dapat berpijak di bumi nyata.

Mereka masih mengakui jawatan MB hak mereka, kerajaan negeri itu hak mereka, kereta Camry itu hak mereka dan kediaman rasmi MB itu hak mereka. Macam budak-budak main pondok-pondok atau main perang cerita Combat.

Maka sudah tentulah dua pilihan raya kecil yang dijadualkan berlang- sung pada 7 April ini akan digunakan sepenuhnya untuk parti-parti politik membuktikan pengaruh mereka.

Selepas apa yang berlaku di Perak, sudah pasti Pas mahu menggunakan Bukit Gantang sebagai medan untuk membuktikan pengundi-pengundi masih bersimpati kepada Pas sementara BN pula mahu membuktikan, pengaruhnya masih kuat dan BN diterima baik selepas pilihan raya umum lalu.

Ia juga satu ujian penting kepada Menteri Besar Perak yang baru Dr. Zambry Abd. Kadir serta Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perak.

Begitu juga di Bukit Selambau yang dulunya milik BN tetapi kecundang kepada calon Bebas pada pilihan raya umum lalu. Parti-parti komponen BN sama ada di Kedah atau di Perak sepatutnya tidak ‘bercakaran’ untuk merebut kerusi itu kerana misi penting sekarang ialah untuk menang dan memenangi semula hati rakyat. Sikap berebut untuk bertanding hanya akan menimbulkan rasa meluat dan kurang senang di kalangan para pengundi. Justeru jangan main-main dalam menghadapi dua pilihan raya kecil itu.

Harus diingat, Pas dan PKR mempunyai kelebihan kerana mereka adalah penyandang kerusi berkenaan.

Berbalik kepada situasi politik hari ini terutama yang melibatkan isu Perak, sama ada di pihak BN atau pembangkang, keadaan yang berlaku hari ini umpama merebut harta ram- pasan perang. Teringat kisah perang Uhud antara tentera Islam dan Quraisy pada tahun ketiga Hijrah.

Mungkin pembaca boleh menyelak semula kisah perang ini. Banyak pengajaran yang diperoleh daripada peristiwa ini. Namun satu pengajaran yang tidak boleh dilupakan ialah bagaimana kelalaian atas kemenangan menyebabkan pihak yang menang menerima padahnya.

Di Bukit Uhud, 50 orang yang terdiri daripada pasukan memanah telah diperintahkan untuk menga- dakan kubu pertahanan di atas bukit dan diperintahkan agar tidak meninggalkan bukit itu dalam keadaan apa sekali pun sama ada kalah atau menang sehingga diberitahu.

Apabila tentera Muslim mula melihat kejayaan mereka, tentera yang bertahan di atas bukit beransur-ansur meninggalkan bukit itu untuk memungut harta tinggalan perang dan menguasai medan kemenangan. Sebaik mereka meninggalkan bukit tersebut, Khalid al-Walid bersama tentera berkudanya serta beberapa pimpinan perang mula menyerang dari belakang iaitu menerusi bukit tersebut. Akhirnya serangan itu memecah-belahkan tentera Muslim dan melemahkan pertahanan mereka.

Ketika itulah muncul pelbagai dakwaan dan propaganda yang turut mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah terkorban. Keadaan itu menyebabkan kebanyakan tentera Muslim menjadi lemah dan tidak bersemangat sehingga berpecah kepada kumpulan yang ingin meneruskan perang dan melarikan diri. Begitulah kisah duka tentera Muslim yang tamak harta dan gagal mengikut perintah ketua mereka. Itu kisah silam yang mungkin boleh dijadikan panduan lebih-lebih lagi kepada mereka yang dilanda kemaruk kuasa.

Berbalik kepada kemelut politik di Perak, tentunya dua kenyataan yang paling menarik perhatian ialah apa- bila bekas Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin mengungkapkan ‘Ampuan Tuanku, patik mohon derhaka’ dan Karpal Singh pula meminta Anwar Ibrahim bertaubat.

Tidak perlu diulas lagi kesediaan Mohammad Nizar untuk derhaka. Semua orang tahu ucapannya itu. Ia bukan main-main. Namun apa nak buat, apabila sudah terlepas cakap, pihak pembangkang terpaksa mem- pertahankan penderhakaan Mohammad Nizar dan cuba mengalihkan perhatian kepada pihak lain.

Karpal pula meminta Anwar bertaubat kerana didakwa mempelopori budaya lompat parti. Sudah menjadi lumrah pihak pembangkang, mereka tidak akan mudah mengaku kesilapan. Ketika mencanangkan mereka akan berkuasa pada 16 September 2008, tidakkah terfikir bahawa hanya kaedah lompat parti yang akan membantu pembentukan kerajaan pakatan pembangkang itu?

Tetapi apabila rakan mereka melompat kepada BN, orang mereka dipersalahkan. Inilah yang dikatakan baling batu sembunyi tangan. Diri sendiri boleh buat tetapi orang lain tidak boleh. Jadi jangan main-main dengan kata-kata, nanti buruk padahnya.

UM160209-min

Related posts

Leave a Comment