KOTA KINABALU 2 Mei – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mempertahankan kerusi tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, selain mahu menambah beberapa lagi kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Presidennya, Ewon Benedick, berkata sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH), UPKO sudah pasti akan mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dengan wawasan untuk memenangi lebih banyak kerusi yang diwakilinya.
“UPKO sebagai parti komponen PH Sabah sudah tentu akan mengambil bahagian dengan wawasan untuk menang kerusi tambahan selain mempertahan kerusi DUN Kadamaian.
“Sementara perundingan dalaman PH Sabah dan perbincangan tidak rasmi dengan gabungan lain terus berlangsung, UPKO mesti bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah.
Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UPKO Ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah satu-satunya penyandang kerusi DUN mewakili UPKO ketika ini, iaitu di DUN Kadamaian, Kota Belud.
Kerusi itu dimenangi UPKO daripada 12 kerusi DUN yang ditandinginya ketika bersama Parti Warisan Plus pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020.
Sementara itu, Ewon berkata pilihan raya kali ini harus menjadi pengukur kepada perpaduan rakyat Sabah dan pimpinan parti politik yang ada di negeri ini.
“Pilihan raya kali ini bukan persaingan mengenai siapa yang boleh berteriak dengan lebih kuat, bukan persaingan emosi yang sensasi, bukan persaingan kelemahan siapa yang paling banyak.
“Dalam pertembungan hubungan perdagangan antarabangsa dan geopolitik, rakyat Sabah mesti bijak menilai kepentingan perpaduan,” katanya.
Katanya, UPKO, seperti mana dalam matlamat penubuhannya, harus bekerjasama dengan parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi yang sama, tidak hanya dengan parti-parti Sabah tetapi juga dengan parti-parti nasional.
Nnnn

KOTA KINABALU 2 Mei – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mempertahankan kerusi tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, selain mahu menambah beberapa lagi kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).