100 kes: PKP bakal kembali?

PADA 26 Julai lalu, di Kota Bharu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob

memberi peringatan bahawa kerajaan akan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes positif Covid-19 mencecah tiga angka.

Katanya, jika kes terus meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan mengembalikan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan.

Waktu itu, beliau merujuk empat hari berturut-turut kes meningkat dan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan kes meningkat disebabkan kealpaan kita sendiri.

“Kita lupa apabila kita melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang akhirnya kes semakin meningkat,” katanya.

Semalam kes meningkat kepada 100. Adakah ini petanda awal untuk kita kembali kepada PKP? Cuma daripada 100 kes ia melibatkan 15 import dan penularan tempatan masih dua angka iaitu 85.

Jika kes tempatan diambil kira maka masih ada waktu untuk setiap daripada kita memperbaiki kelemahan. Ketika PKP Pemulihan ini banyak kelonggaran sudah diberi sehingga beberapa SOP terabai atau dipandang remeh.

Ramai yang tidak mampu ‘mengawal diri sendiri’ disebabkan kelonggaran yang diberi sedangkan kelonggaran itu tidak secara total sebaliknya bagi ‘memudahkan’ urusan yang berkaitan.

Kita tunggu perkembangan hari ini sama ada kes akan terus meningkat atau sebaliknya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ketara itu memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi dalam komuniti.

Berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh KKM, terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat di dalam negara ini. Masyarakat kemungkinan kian alpa dan tidak mengendahkan SOP yang ditetapkan.

Beliau memberi amaran bahawa dapatan yang diperoleh oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan menunjukkan kejadian pandemik ini masih menular secara aktif.

Adalah dijangka pandemik Covid-19 akan berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

Justeru, semua individu, tanpa mengira latar belakang dan status sosial, perlu sentiasa berada dalam keadaan waspada (alert), sedar (aware) dan patuh kepada SOP dan tatacara yang telah ditetapkan.

Kegagalan mematuhi pelaksanaan mana-mana tatacara atau SOP yang ditetapkan merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana ini berpotensi membawa kepada suatu implikasi di luar jangka, terutama sekali apabila melibatkan isu pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Ketidakpatuhan ini juga mungkin akan menyebabkan kerja keras yang telah diusahakan oleh petugas barisan hadapan, rakyat dan kerajaan menjadi sia-sia.

Related posts

Leave a Comment