Dividen Simpan SSPN 4.05 peratus

PUTRAJAYA 30 April – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen sebanyak 4.05 peratus bagi Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2024, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir, berkata agihan keuntungan itu membabitkan peruntukan RM439.87 juta berbanding RM357.65 juta tahun sebelumnya dan memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit.

Beliau , berkata peningkatan agihan dividen Simpan SSPN yang diperkenalkan sejak 2004 menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan yang efektif bagi memastikan pulangan optimum dapat diberikan kepada pendepositnya.

“Pemberian dividen pada kadar 4.05 peratus adalah lebih tinggi berbanding agihan sebanyak 3.60 peratus bagi 2023.

Peningkatan ini disokong strategi pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan yang tinggi dan positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Mustapha Sakmud; Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Menurut Zambry, PTPTN turut menunjukkan pencapaian membanggakan dalam usaha agensi itu menarik lebih ramai pendeposit Simpan SSPN.

Ini dibuktikan melalui jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN bagi 2024 sebanyak RM3.17 bilion, berbanding RM3.15 bilion yang direkodkan pada 2023, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.37 juta atau 0.77 peratus.

Jumlah keseluruhan deposit terkumpul bagi Simpan SSPN yang diterima sehingga 31 Disember 2024 adalah RM20.56 bilion manakala lebih 500,000 akaun baharu direkodkan, menunjukkan minat masyarakat menabung dalam Simpan SSPN.

Beliau turut memaklumkan dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai Jumaat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment