SHAH ALAM 16 Mac – Lim Guan Eng menghormati keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu DAP yang tidak memilihnya semula untuk jawatan Pengerusi Kebangsaan yang disandangnya sebelum ini.
Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Setiausaha Agung DAP itunmenjelaskan, beliau menerima keputusan itu kerana ia ditentukan oleh ahli parti sendiri dan bukannya orang luar.
“Saya menghormati keputusan dibuat oleh CEC tadi. Masa depan saya ditentukan oleh ahli dan bukan orang luar DAP. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi saya.
Sekarang, kita harus bersatu bawah kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung,” katanya pada sidang media selepas pengumuman barisan kepimpinan CEC baharu DAP pada Kongres Kebangsaan ke-18 parti itu di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), di sini.
Pada pemilihan 30 anggota CEC itu, Guan Eng menduduki tangga ke-26 dengan memperoleh 1,719 undi berbanding di tangga kelapan pada pemilihan 2022 dengan meraih 1,311 undi.
Sementara itu pada sidang media sama, Loke berkata, pemilihan kali ini menyaksikan beberapa perubahan dalam struktur jawatankuasa tertinggi DAP.
Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pemimpin baharu untuk menggalas tugas dan menonjolkan bakat serta kualiti kepimpinan mereka dalam usaha memperkukuhkan parti.
Pada mesyuarat pertama CEC baharu yang diadakan sebaik saja selesai pemilihan, Guan Eng gagal mempertahankan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP yang disandangnya walaupun berada dalam senarai 30 ahli CEC yang dipilih.
Beliau sebaliknya dilantik sebagai Penasihat DAP bagi menggantikan penyandangnya, Tan Kok Wai yang mengumumkan menarik diri sebelum ini.
Jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP kini dipegang oleh Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, yang mengekalkan undi tertinggi iaitu 2,785 berbanding 1,782 pada pemilihan lalu.
Nnn
