MANILA – Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, ditahan polis sejurus tiba di sini dari Hong Kong hari ini, berikutan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pejabat Komunikasi Presiden (PCO) dalam kenyataannya memaklumkan waran tangkap itu diterima Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) Manila daripada ICC awal pagi tadi.
Duterte, 79 tiba di Filipina pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific CX 907 dan sebaik tiba, Pendakwa Raya menyerahkan pemberitahuan rasmi ICC yang mengesahkan waran tangkap terhadapnya.
Bekas presiden itu berdepan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di ICC, berhubung kempen perang dadah berdarah ketika pemerintahannya.
PCO memberi jaminan bahawa Duterte berada dalam keadaan sihat dan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba.
Kerajaan sebelum ini menegaskan tidak akan bekerjasama dengan siasatan ICC terhadap Duterte, namun menyatakan bahawa negara tetap terikat dengan kewajipannya kepada Interpol.
