PBS belum sedia kembali jadi ‘hero’

KOTA KINABALU 6 Mac – Parti Bersatu Sabah (PBS) mengulangi komitmennya untuk terus kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pakatan yang memerintah negeri dan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Pemangku presidennya, Dr Joachim Gunsalam, berkata belum sampai masanya untuk parti berkenaan kembali menjadi wira dengan berjuang sendiri pada PRN.

Katanya, kepemimpinan PBS sedar mereka perlu mencari rakan yang mempunyai ideologi politik sama bagi membentuk gabungan dan sudah menemuinya dalam GRS yang dianggotainya ketika ini.

“Senario politik sekarang berbeza berbanding pada masa lalu. Sekarang saya percaya belum masanya untuk kita menjadi hero berjuang sendiri.

Kita tidak boleh menang sendiri dan atas sebab itu kita mesti cari kawan dengan ideologi yang sama dan kita sudah jumpa rakan seperti ini dalam GRS,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Ulang Tahun PBS Ke-40, di sini, malam tadi.

Turut hadir pengasas PBS, Joseph Pairin Kitingan dan Presiden PBS, Dr Maximus Ongkili serta kira-kira 1,00 ahli dan pemimpin PBS dari 73 bahagian parti itu di seluruh negeri.

Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata PBS meyakini GRS sebagai gabungan yang mampu menstabilkan politik Sabah demi untuk kesinambungan pembangunan negeri.

Katanya, PBS selesa bekerjasama dengan GRS dan tidak teragak-agak menjadi sebahagian daripada keluarga besar GRS.

“Kita kekal komited dengan perjuangan dan misi serta visi GRS. PBS adalah antara pengasas GRS dan GRS bukan hanya untuk kepentingan peribadi atau politik tetapi demi masa depan Sabah.

“Kita pilih GRS kerana ia membawa harapan dan kemajuan yang nyata. Kita percaya semangat dan visi jelas GRS mampu membawa Sabah ke arah pembangunan lebih pesat,” katanya.

Beliau turut mengulangi penjelasannya berhubung keputusan PBS memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada April tahun lalu bukan satu ancaman kepada GRS.

Sebaliknya, beliau berkata MoU itu adalah satu usaha untuk mengukuhkan lagi GRS dalam menghadapi PRN17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa saja tahun ini.

Mengenai kerusi yang bakal ditandingi PBS, Dr Joachim berkata tujuh kerusi yang disandangnya ketika ini akan terus dipertahankan, selain mahu menambah lagi kerusi menerusi perbincangan dengan rakan komponen GRS.

Beliau juga berharap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang dimenangi Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony pada PRN lalu dapat ditandingi semula.

Kerusi berkenaan adalah antara bekas kubu kuat PBS sejak kemunculan parti itu pada 1985 sebelum terlepas ke tangan pihak lawan sejak pilihan raya umum 2018.

Nn

Related posts

Leave a Comment