KUALA LUMPUR 6 Mac – Tindakan mempersenda atau menghina agama lain adalah perbuatan dilarang dalam agama Islam dan perbuatan itu juga tidak beretika serta boleh menjejaskan keharmonian sosial.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, setiap agama mempunyai nilai dan prinsip yang dihormati oleh penganutnya.
Katanya, sebagai masyarakat majmuk, kita perlu saling menghormati dan memahami kepelbagaian ini sebagai kekuatan yang menyatukan dan bukan memecahbelahkan.
“IKIM menasihatkan setiap individu perlu memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya. Menghormati kepercayaan orang lain adalah asas kepada kehidupan yang harmoni.
“Dalam era digital, media sosial menjadi platform utama untuk berinteraksi, berkongsi maklumat, dan menyuarakan pendapat.
“Namun, kebebasan ini perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan yang tinggi, terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan sensitiviti agama dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas mengenai isu tiga penyampai radio 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani yang dipercayai menyinggung perasaan penganut Hindu menerusi video kontroversi mempersenda tarian kavadi iaitu upacara suci penganut itu ketika Thaipusam.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video itu mengundang kritikan meluas kerana secara terang-terangan mempersendakan tradisi penganut Hindu.
Mohamed Azam juga menasihatkan orang ramai supaya menghormati kepelbagaian agama, elakkan kandungan provokatif, peka dan bertanggungjawab, amalkan nilai toleransi serta melaporkan penyalahgunaan jika menemui kandungan yang menghina atau mempersendakan agama di media sosial.
seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya menggunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan yang bersifat provokatif, menghina, atau mempersendakan agama lain.
“Perbuatan ini bukan sahaja menyakiti hati penganut agama berkenaan, malah boleh mencetuskan ketegangan sosial. Selain itu, sebelum berkongsi atau menulis sesuatu di media sosial, fikirkan kesannya terhadap orang lain.
Adakah kandungan tersebut boleh menyinggung perasaan atau menjejaskan keharmonian masyarakat?,” katanya.
Beliau berkata, toleransi bukan sekadar sikap bertolak ansur, tetapi juga menghargai dan memahami perbezaan.
“Jadilah masyarakat yang peka dan prihatin terhadap sensitiviti agama dan budaya.
Jika anda menemui kandungan yang menghina atau mempersendakan agama di media sosial, laporkan kepada MCMC atau platform media sosial berkenaan.
“Mari kita menjadi masyarakat yang peka, bertanggungjawab dan saling menghormati demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Nnn