MINDEF pertahan pajakan 28 helikopter

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mempertahankan pendekatan pajakan aset dalam perolehan 28 helikopter untuk kegunaan pelbagai agensi, berbanding kaedah pembelian terus.

Menterinya, Mohamed Khaled Nordin, menjelaskan empat sebab utama mengapa kerajaan memutuskan untuk menggunakan pendekatan pajakan aset.

Salah satu daripadanya adalah bagi menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan kerajaan, serta kesiagaan atau kebolehgunaan aset yang rendah.

MINDEF turut mengambil kira aspek pemindahan risiko kepada syarikat pemberi pajak, selain pendekatan pajakan yang turut menjadi pilihan di negara seperti Perancis, United Kingdom (UK), Kanada, Norway, Sweden, Australia dan negara jiran di rantau ASEAN.

Mohamed Khaled berkata ketersediaan aset strategik satu isu kritikal kepada negara dan terdapat banyak kritikan mengenai ketidakcukupan yang disumbangkan oleh faktor ketidakupayaan kerajaan untuk memodenkan atau membeli aset strategik yang diperlukan itu secara terus.

Katanya, jika kerajaan berkeras untuk hanya memperoleh aset melalui pembelian secara terus, tidak mustahil kita terpaksa menunggu terlalu lama atau mungkin tidak akan mampu mempunyai aset strategik yang diperlukan negara sampai bila-bila.

Sebaliknya jika memilih pendekatan pajakan, kerajaan tidak perlu membayar pendahuluan, bayaran kemajuan atau mengeluarkan perbelanjaan modal (CAPEX).

Ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata, di bawah kontrak pajakan helikopter ini, kerajaan akan hanya mula membayar komitmen apabila sudah menerima dengan sempurna helikopter yang dibekalkan kelak.

“Itu pun bayaran berkenaan secara bulanan mengikut kegunaan dan dipecahkan sepanjang tempoh 15 tahun,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kajian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2017 mendedahkan tahap kesiapsiagaan pesawat dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara 2011 dan 2015 adalah tidak optimum iaitu hanya pada tahap 43 peratus berbanding keperluan 70 peratus minimum yang ditetapkan.

Pada masa sama, agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut mengalami isu sama akibat proses penyelenggaraan dan pembaikan yang tidak efisyen serta insiden kemalangan atau kerosakan teruk.

Situasi ini disebabkan peruntukan mendapatkan alat gantian dan proses senggaraan yang memakan masa masih menjadi cabaran yang tidak dapat dielakkan.

Justeru, salah satu perkara utama yang ditekankan dan menjadi faktor pemilihan pendekatan pajakan adalah kemestian di pihak syarikat untuk memberi jaminan tahap ketersediaan pesawat.

“Kita mensyaratkan pihak syarikat wajib memastikan kesiapsiagaan minimum helikopter berada pada sekurang-kurangnya 85 peratus pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata, di bawah pendekatan pajakan ini, ketersediaan pesawat setiap bulan akan disusun menggunakan konsep penyelenggaraan Power by the Hour (PBH) dan ini dapat dilakukan kerana semua alat ganti pesawat mestilah disediakan pihak syarikat pada setiap masa dan bukannya dibeli hanya apabila diperlukan.

“Jika pihak syarikat gagal memastikan jaminan 85 peratus ketersediaan itu dicapai, bayaran oleh kerajaan kepada syarikat akan dikurangkan dan pada masa sama, kita berupaya menjamin 100 peratus jam penerbangan mengikut unjuran keperluan operasi semua agensi yang terbabit,” katanya.

Mohamed Khaled juga menjelaskan di bawah pendekatan pajakan juga, semua risiko penyediaan dan pemilikan aset menjadi tanggungjawab pemberi pajak, sekali gus memerlukan syarikat mengambil insurans sepanjang tempoh pajakan.

Secara tidak langsung, pemindahan beban dan risiko pengurusan kepada pihak syarikat menyebabkan agensi pengguna boleh menumpukan perhatian kepada tugas operasi udara tanpa perlu memikirkan hal penyelenggaraan pesawat.

Merujuk kepada soalan, dibangkitkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut), Mohamed Khaled menjelaskan, jika perbandingan menjadi rujukan dan asas untuk membeli secara terus 28 helikopter itu, negara akan perlu membayar kira-kira RM7.5 bilion.

Hamzah mempersoalkan sama ada harga dibayar kerajaan dalam pajakan itu terlalu tinggi selepas membandingkan kos dikeluarkan Poland dalam pembelian 32 unit helikopter jenis AW 149 pada harga kira-kira RM8.5 bilion pada 2022 berbanding kos RM16.6 bilion oleh kerajaan bagi harga pajakan 28 unit helikopter.

“Sepintas lalu, nilai ini mungkin kedengaran lebih murah berbanding harga yang dibayar oleh kerajaan iaitu RM16.6 bilion, tetapi realitinya harga itu hanyalah harga pembelian helikopter, manakala RM16.6 bilion di bawah kontrak pajakan ini merangkumi pakej menyeluruh selama 15 tahun.

Antara lain penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan, seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dan simpanan alat gantian; latihan dan kursus kepada kira-kira 1,300 juruterbang dan kru penerbangan.

Pemindahan kemahiran dan latihan berterusan kepada jurutera dan juruteknik agensi pengguna; penyediaan perlindungan insurans mencakupi aset semua kru, penumpang dan pihak ketiga serta kos pembiayaan atau peminjaman.

Berhubung kenyataan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang mempersoalkan keupayaan helikopter model AW149 untuk melakukan aktiviti ‘underslung’ bagi mengangkut meriam artileri jenis 105 milimeter (mm) pack howitzer yang digunakan Tentera Darat, Mohamed Khaled memaklumkan, TUDM sudah pun memberikan jaminan berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment