Syor cuti Aidiladha dua hari

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Seorang penyokong kerajaan menyarankan tempoh cuti umum sempena Aidiladha dipanjangkan kepada dua hari, bagi memudahkan umat Islam menyambutnya dan melaksanakan ibadah korban.

Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berkata tempoh cuti sehari sempena Aidiladha tidak mencukupi menyebabkan ramai tidak berpeluang meraikannya.

Bercakap pada pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, dengan tempoh cuti umum itu dipanjangkan kepada dua hari, ia juga akan memudahkan urusan logistik untuk pulang ke kampung.

Ketika ini Seksyen 3 Jadual Pertama Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) memperuntukkan sehari cuti bagi Hari Raya Haji (Aidiladha) bagi seluruh negara, manakala dua hari bagi Kelantan dan Terengganu

Menurut Shamshulkahar, tempoh cuti sehari ini menyebabkan ramai tidak dapat meraikannya di kampung kerana faktor logistik, sedangkan melaksanakan ibadah korban serta meraikan Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik adalah ajaran Islam.

“Jempol (Shamshulkahar) memohon kerajaan menetapkan cuti Hari Raya Aidiladha selama dua hari di seluruh negara. Mohon maklum balas Jabatan Perdana Menteri mengenai cadangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shamshulkahar membantah cadangan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama bukan Islam, selain menyifatkan syor itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

“Jempol mohon semua pihak menghormati Perkara 3 Perlembagaan yang jelas menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 11 menjamin kebebasan setiap orang menganuti dan mengamalkan agama masing-masing di negara ini,” katanya.

Mengenai rasionalisasi subsidi RON95, Shamshulkahar menggesa, Kementerian Ekonomi memperinci kaedah dan memformulakan mekanisme terbaik dalam rangka pelaksanaan inisiatif itu, sekali gus menyelamatkan puluhan bilion ringgit setiap tahun.

“Subsidi petrol RON95 menjadi antara perbelanjaan terbesar dan beban kepada kerajaan dengan jumlah subsidi pukal dinikmati seluruh penduduk mencecah RM20 bilion pada 2023.

Sudah sampai masanya subsidi RON95 hanya dinikmati rakyat tempatan yang berjumlah 30.6 juta (90 peratus). Kelebihan subsidi ini tidak seharusnya diberikan kepada 3.4 juta (10 peratus) warga asing,” katanya.

Shamshulkahar juga berkata, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) wajar diperluas kepada kenderaan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengurangkan kos operasi, seterusnya membolehkan IPTS menyalurkan penjimatan kepada pelajar.

Nnn

Related posts

Leave a Comment