KUALA LUMPUR 27 Jan. – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, mengakui terkhilaf apabila mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Dr Yeoh Tiong Lay.
“Dalam ceramah panjang saya semalam, satu minit video telah dikerat oleh media untuk dijadikan tajuk berita.
“Saya akui terkhilaf tentang maklumat yang saya kaitkan dengan YB Hannah Yeoh,” katanya melalui muat naik di Facebook bagi merujuk satu minit video ceramahnya semalam yang dipetik media untuk dijadikan tajuk berita.
Terdahulu, Hannah membidas Razman susulan kenyataan yang mengaitkan beliau dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL itu, sambil mengingatkan Pas bahawa tidak semua individu dengan nama Yeoh mempunyai kaitan dengan YTL.
Sementara itu, Razman melalui komen berasingan mengakui mengikuti laporan disiarkan media berkaitan ceramahnya dalam program di Seri Iskandar semalam, yang mana pemberitaan merujuk ayat berkaitan Hannah Yeoh kira-kira kurang 10 saat daripada keseluruhan ceramah lebih setengah jam.
“Saya mengakui kesilapan fakta tentang kaitan Hannah Yeoh dan syarikat gergasi YTL. Saya mengakui bahawa Hannah Yeoh tiada kaitan dengan tokoh korporat atau syarikat YTL.
“Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain, selain kejayaan program tiga hari tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kekesalan dan pernyataan maaf kepada Ahli Parlimen Segambut itu serta mana-mana pihak yang terkesan atau tersentuh dengan kenyataan atas kekeliruan fakta berkenaan.
“Saya mengharapkan isu ini difahami dengan penjelasan yang saya berikan. Saya juga menyeru pemberitaan berbentuk menajamkan intelek rakyat dan bukan menajamkan permusuhan dikalangan rakyat,” katanya.
Nnn
