Dasar jantina baharu di AS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan darurat kebangsaan di sempadan selatan dan memperkenalkan dasar rasmi yang mengiktiraf hanya dua jantina, lelaki dan perempuan.

Dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan, beliau berikrar untuk mengembalikan dasar ‘Kekal-dalam-Mexico’ serta mengerahkan tentera bagi menghentikan apa yang disifatkannya sebagai ‘pencerobohan yang dahsyat’.

“Mulai hari ini, ia akan menjadi dasar rasmi Kerajaan AS bahawa hanya terdapat dua jantina, lelaki dan perempuan,” katanya ketika mengisytiharkan pentadbirannya secara rasmi mengiktiraf hanya dua jantina sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan.

Presiden AS ke-47 itu turut memaklumkan bahawa kartel dadah akan disenaraikan sebagai Pertubuhan Pengganas Asing.

Selain dasar domestik, Trump turut menggariskan wawasan bercita-cita tinggi untuk penerokaan angkasa lepas, dengan berjanji untuk menghantar angkasawan AS ke Marikh.

“AS sekali lagi akan melihat dirinya sebagai sebuah negara yang sedang membesar, meningkatkan kekayaan kita, memperluas wilayah, membangunkan bandar, mengangkat harapan kita, dan membawa bendera kita ke ufuk baharu yang indah.

“Kita akan mencapai takdir kita yang ditunjukkan ke bintang-bintang, melancarkan angkasawan AS untuk memacakkan bendera kita di planet Marikh,” katanya

Trump turut mendedahkan rancangan untuk menukar nama Teluk Mexico serta mengembalikan nama asal Gunung McKinley, sekali gus mengetepikan keputusan yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini.

“Dalam masa terdekat, kita akan menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, dan kita akan memulihkan nama seorang presiden hebat, William McKinley, kepada Gunung McKinley, tempat yang sepatutnya dan selayaknya,” kata Trump.

Selain itu, beliau berjanji untuk mengambil semula Terusan Panama, yang telah diserahkan kepada Panama pada 1999 di bawah Perjanjian Torrijos-Carter.

Nnn

Related posts

Leave a Comment