WASHINGTON – Donald Trump yang secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-47 berikrar untuk “meletakkan Amerika di tempat pertama” semasa menandakan babak baharu untuk negara itu.
Dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan, beliau berkata, zaman keemasan Amerika kini bermula.
“Bermula dari hari ini, negara kita akan berkembang maju dan dihormati semula di seluruh dunia. Kita akan menjadi idaman setiap negara, dan kita tidak akan membiarkan diri kita dipermainkan lagi,” kata Trump.
Trump turut memberitahu, kali ini, beliau kembali sebagai Presiden AS ke-47 dengan “penuh keyakinan dan optimis” bahawa kita berada di permulaan era baharu yang mengujakan bagi kejayaan negara.”
“Arus perubahan sedang melanda negara ini. Cahaya matahari menyinari seluruh dunia, dan Amerika mempunyai peluang untuk merebut peluang ini seperti tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Trump.
Terdahulu Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden di Capitol AS.
“Saya, Donald John Trump, dengan ini bersumpah untuk melaksanakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat dengan setia, dan akan dengan sedaya upaya saya memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat,” kata Trump.
JD Vance turut mengangkat sumpah jawatan Naib Presiden ke-50 di hadapan Hakim Brett Kavanaugh pada acara sama yang dihadiri orang kenamaan, beberapa bekas Presiden AS dan bilionair Amerika termasuk Elon Musk serta Jeff Bezos.
Dalam ucapannya, Trump mengucapkan terima kasih kepada beberapa bekas Presiden yang hadir, termasuk Joe Biden yang juga penyandang jawatan itu sebelum beliau.
Trump berkata, kerajaan yang baru diwarisinya itu “tidak dapat menguruskan walau satu krisis mudah di dalam negara, sementara pada masa sama tergelincir ke dalam rangkaian kejadian malapetaka yang berterusan di luar negara.”
Dalam masa sama, beliau juga mengecam “penjenayah berbahaya” yang masuk ke AS secara haram serta kekurangan kawalan keselamatan sempadan.
Merujuk kepada bencana alam yang teruk di kawasan Tenggara dan Barat Amerika Syarikat, Trump memberi amaran AS “tidak lagi mampu memberikan perkhidmatan asas pada waktu kecemasan,” dengan mendakwa tanpa bukti bahawa kebakaran hutan di Los Angeles berlaku “tanpa sebarang usaha pertahanan sekalipun.”
Trump turut mengkritik sistem kesihatan awam AS dan mendakwa negara itu mempunyai “sistem pendidikan yang mengajar anak-anak kita untuk malu terhadap diri mereka sendiri dan dalam banyak kes, untuk membenci negara kita.”
Nnnn