Ditahan dalam perhimpunan pro-Palestin

LONDON – Lebih 70 orang ditahan dalam perhimpunan pro-Palestin yang disertai beribu-ribu orang di tengah London semalam, malam sebelum gencatan senjata antara Israel dan Hamas bermula.

Kebanyakan mereka ditahan atas tuduhan melanggar perimeter yang dibenarkan untuk protes berhampiran bangunan kerajaan utama di tengah London.

Menurut Polis Metropolitan, penahanan 70 peserta demonstrasi itu adalah jumlah terbesar sejak perhimpunan dimulakan di London pada Oktober 2023.

Demonstrasi itu dirancang untuk menjadi perhimpunan statik di Whitehall, kawasan pejabat utama kerajaan Britain, selepas polis menolak laluan awal yang dicadangkan penganjur, yang menurutnya akan berada di kawasan berhampiran sebuah tempat ibadat atau sinagoga.

Namun, polis berkata terdapat ‘usaha terancang’ oleh Kempen Solidariti Palestin (PSC) untuk melanggar syarat ditetapkan, selepas beberapa penunjuk perasaan bergerak dari Whitehall dan menuju ke Trafalgar Square.

Komander polis Adam Slonecki dalam satu kenyataan berkata,  jumlah tangkapan itu adalah tertinggi, sebagai tindak balas terhadap peningkatan jenayah yang paling signifikan.

“Siasatan kini sedang dijalankan dan kami akan berusaha sedaya upaya memulakan pendakwaan terhadap mereka yang dikenal pasti,” katanya.

Ketika demonstrasi itu, peserta memegang plakad dengan slogan seperti ‘Hentikan pemberian senjata kepada Israel’ dan ‘Hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza’ sambil melaungkan secara slogan, ‘Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas’.

Menurut Polis Metropolitan, seramai 65 penunjuk perasaan ditahan atas tuduhan melanggar syarat protes, manakala yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan termasuk serangan, menyokong kumpulan yang diharamkan dan menghalang polis.

Turut kelihatan kira-kira 100 penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera Israel berkumpul berdekatan sebagai tanda sokongan kepada regim Zionis.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment