KUALA LUMPUR 18 Jan. – Mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu petang ini memutuskan pelantikan lima ahli baharu MPT dan ketua-ketua badan pimpinan negeri serta timbalan masing-masing.
Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali, berkata ia menggabungkan pimpinan muda, profesional dan yang berpengalaman yang diyakini akan membantu memperkukuhkan organisasi parti dan meneruskan idealisme Bersatu.
Katanya, lima ahli MPT berkenaan adalah Harisson Hassan (Bahagian Kuala Selangor); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Kepala Batas); Danni Rais (Jelebu); Alkaf Jaziri Abdillah Suffian (Santubong) dan Noh Omar (Tanjung Karang).
Azmin berkata, persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka akan diadakan dalam tempoh terdekat antara perkara utama dibincangkan dalam mesyuarat MPT Bersatu yang dipengerusikan Presiden Muhyiddin Yassin.
“Kita sedang mengadakan perbincangan dan sesi babit urus dengan pelbagai pihak dalam kalangan pemegang taruh di Sabah. Bersatu juga memperhalusi kawasan tumpuan dan menyediakan manifesto untuk masa depan rakyat negeri itu,” katanya.
Nnn
