KUALA LUMPUR 4 Jan. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) tetap dengan pendirian untuk menyertai himpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya Isnin ini.
Presiden Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali, berkata pihaknya tetap menyarankan mana-mana pihak untuk turun pada himpunan itu walaupun ia dilarang oleh pihak berkuasa.
“Cuma ada penyokong Najib dan pihak yang nak tahu keputusan secara langsung, termasuk yang nak tengok suasana serta sejarah. Setakat 5,000 hingga 6,000 tidak akan ada cedera.
“Sedangkan konsert sambutan tahun baharu dihadiri puluhan ribu hingga empat orang mati boleh (pula) dibiarkan (malah), tiap-tiap tahun benarkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Gabungan Ummah Malaysia (UMMAH), Mohd Zai Mustafa; Pengerusi UMMAH Melaka, Hishammudin Abu Bakar dan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu (TAMU), Zaharah Sulaiman.
Bagi ahli UMNO yang dihalang untuk turun menyatakan solidariti terhadap bekas Presiden mereka susulan arahan dikeluarkan tampuk kepemimpinan malam tadi, Syed Hassan berpandangan ia tindakan tidak wajar.
Beliau berkata, sepatutnya ahli UMNO diberikan kebebasan untuk hadir kerana masih ada yang sayangkan bekas Perdana Menteri itu.
“Orang Melayu masih sayangkan UMNO sebab parti itu memperjuangkan bangsa dan negara, negara ini maju kerana UMNO,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zai menjangkakan lebih 5,000 wakil NGO Islam akan menyertai himpunan solidariti berkenaan.
“Kita akan turun dan ajak semua rakyat Malaysia untuk turun bersama. Ia untuk kita lihat sendiri apa keputusan mahkamah iaitu menentukan wujud atau tidak (titah) Adendum untuk Najib.
“Kita harapkan rakyat Malaysia ambil cakna kerana ia membabitkan bukan perjuangan Najib, tapi soal integriti dan ketelusan kerajaan. Ini bukan isu Melayu tapi isu negara,” katanya.
