Najib tumpu Titah Adendum

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Pasukan pembelaan Najib Razak mengesahkan belum menerima sebarang arahan berhubung permohonan pengampunan baharu yang akan difailkan bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Kanan yang mewakili Bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Shafee berkata, ketetapan itu mengambil kira prosiding rayuan difailkan Najib yang akan didengar di Mahkamah Rayuan, Isnin ini.

Beliau berkata, pasukan pembelaan Najib juga akan meneliti keputusan prosiding rayuan bagi semakan kehakiman mengenai Titah Adendum, sebelum sebarang keputusan lanjut dimuktamadkan.

“Setakat ini kita (pasukan pembelaan Najib) belum menerima sebarang arahan (untuk failkan permohonan pengampunan baharu).

“Ini kerana, kita sedang mengemukakan rayuan berkaitan Titah Adendum yang menjadi sebahagian daripada komponen pengampunan diraja kepada Najib.

“Rayuan ini adalah rentetan kepada permohonan pengampunan (terdahulu) Najib. Jadi kita tak boleh failkan permohonan baharu kerana dikhuatiri akan dituduh melakukan prosiding berganda yang akan menjejaskan permohonan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Peguam Negara supaya Najib memfailkan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan, jika mahu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Pada 28 Disember lalu, Jabatan Peguam Negara dilapor berkata, keputusan Lembaga Pengampunan itu akan dibuat mengikut tatacara dan saluran ditetapkan berpandukan undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, pasukan pembelaan Najib akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, sekiranya Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Menteri Kewangan itu.

Nn

Related posts

Leave a Comment