LONDON – Puluhan ribu kediaman terputus bekalan elektrik, perjalanan dan acara sukan terganggu susulan ribut kuat melanda United Kingdom (UK) semalam selepas amaran merah dikeluarkan Pejabat Meteorologi Britain pada awal Jumaat.
Kerajaan turut mengarahkan sekitar tiga juta penduduk di Wales dan barat daya England untuk kekal berada di dalam rumah ketika Ribut Darragh mula melanda beberapa kawasan.
Ribut itu boleh mengancam nyawa akibat sisa serpihan berterbangan, pokok tumbang serta ombak besar di kawasan pesisir pantai.
Menurut National Grid, lebih 55,000 pelanggan kini terputus bekalan elektrik di barat daya England, selatan Wales dan West Midlands.
Susulan kesan ribut itu, National Grid bertungkus lumus untuk membekalkan semula tenaga di premis terlibat.
Sistem amaran kecemasan melalui telefon bimbit turut dihantar kepada jutaan penduduk, menjadikannya penggunaan terbesar sistem berkenaan di luar senario ujian.
Dalam pada itu, penerbangan dan perkhidmatan kereta api turut mengalami kelewatan akibat angin kencang, selain ratusan pembatalan.
Beberapa pendaratan juga terpaksa dibatalkan di Lapangan Terbang Heathrow, London, manakala penerbangan lain dilencongkan ke Jerman.
Di samping itu perlawanan Merseyside Derby antara Everton dengan Liverpool yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu turut dibatalkan akibat cuaca buruk dibawa ribut itu.
Nnn
