Mas Ermieyati jawab pencapaian di MOTAC

SEPANG 27 Nov. – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin memberikan fakta kedatangan pelancong semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Pelancongan sejak 2015 hingga 2018, di bawah pentadbiran  Najib Razak.

Tindakan itu sebagai membalas kritikan dan menjawab soalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Tiong King Sing yang mempersoalkan pencapaiannya sebagai  timbalan menteri di kementerian itu.

Melalui video di media sosial, Mas Ermieyati membandingkan jumlah ketibaan pelancong, termasuk dari China, dalam tempoh empat tahun beliau di kementerian itu dengan angka setakat tahun ini di bawah King Sing sebagai menteri.

Katanya, pada 2015, kedatangan pelancong seramai 25.7 juta, dengan pelancong daripada China seramai 1.6 juta dan pada 2016, naik 4%, menjadikan jumlah kedatangan pelancong seramai 26.8 juta, dan pelancong dari China 2.1 juta.

“Dan yang paling ‘best’, hasil pendapatan negara daripada pelancongan ketika itu mencatatkan kenaikan 18.8 peratus menjadikan keseluruhan pendapatan negara hasil daripada pelancong (sebanyak) RM82 bilion,” katanya.

Beliau berkata, pada 2017, seramai 25.9 juta pelancong datang ke Malaysia, dengan 2.3 juta dari China, manakala pada 2018, seramai 25.8 juta pelancong di mana 2.9 juta adalah pelancong China.

“Ini amat berbeza sekali dengan hasil pendapatan negara yang kita sasarkan pada tahun ini 2024 adalah sebanyak RM102.7 bilion, dan (Tiong) juga menyasarkan kedatangan pelancong tahun ini seramai 27.3 juta.

“Tetapi dari Januari hingga September, atas kewibawaan (Tiong) kredibiliti sebagai menteri, pelancong yang hadir hanya 18.38 juta … ini sangat jauh berbanding waktu  saya jadi timbalan menteri,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi Bersatu menggesa King Sing menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai menteri MOTAC dan tidak meletakkan kesalahan pada pihak lain bagi menutup kesilapan atau kelemahannya sendiri.

Semalam King Sing membidas Mas Ermieyati supaya tidak berasa diri sebagai hero jika tidak mengetahui sepenuhnya situasi yang berlaku.

“Pada masa lalu, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Sebagai seorang pemimpin, apa yang telah beliau lakukan untuk negara ini?

Berapa ramai pelancong yang datang ke negara kita pada masa beliau menjawat jawatan tersebut? Saya tidak perlu menjawabnya, tanyalah beliau sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut ‘menarik balik’ kenyataannya di Dewan Rakyat yang menggesa King Sing dipindahkan ke kementerian lain, sebaliknya beliau akan mencadangkan kepada perdana menteri supaya Tiong digugurkan sebagai menteri.

Pada Isnin, beliau membidas King Sing berhubung kenyataannya mengenai papan tanda dalam bahasa Cina dengan berkata, menjadi tanggungjawab menteri yang menjaga hal ehwal kebudayaan untuk turut mempertahankan bahasa kebangsaan Malaysia.

Beliau turut mencadangkan agar perdana menteri mempertimbangkan menukar portfolio King Sing kepada tugas yang tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment