KUALA LUMPUR 25 Nov. – Dewan Rakyat kecoh apabila seorang Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan mengenai kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berhubung isu penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ketika membangkitkan perkara itu mengakui amat kecewa dan terkejut dengan kenyataan dibuat King Sing yang disiarkan beberapa media itu, selain Chow Yu Hui (PH-Raub) yang turut menyentuh isu sama ketika berbahas hari ini.
Malahan sebelum menamatkan ucapan perbahasannya, wakil rakyat Bersatu itu mencadangkan kepada Kerajaan Madani supaya menukar Menteri Pelancongan kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga penguatkuasaan atau ganti (sebagai menteri di) KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri).
“Saya terkejut dengan kenyataan Menteri MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) yang mendakwa tindakan DBKL memastikan peniaga mempamerkan papan tanda menggunakan bahasa kebangsaan akan mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing pelancongan negara.
Ini adalah kenyataan yang tidak benar dan memalukan… sebagai Menteri Pelancongan sepatutnya (King Sing) mengangkat budaya kita dan mempertahankan seni dan budaya,” katanya ketika perbahasan Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Terdahulu, King Sing melalui kenyataan media dilapor berkata tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati, selain wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Beliau mendakwa tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Sehubungan itu, King Sing menggesa DBKL memberi tumpuan kepada inisiatif yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat daripada mencetuskan kontroversi melalui penguatkuasaan yang melampau.
Kenyataan itu susulan pada minggu lalu, DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Mas Ermieyati turut menarik perhatian Dewan Rakyat mengenai titah arahan Sultan Selangor pada November 2018 supaya menanggalkan papan tanda bertulisan Cina.
“Sebab inilah tak usah Menteri (King Sing) buat drama memetik agenda perkauman,” katanya sebelum situasi mulai kecoh apabila beberapa wakil rakyat kerajaan bangkit mempersoalkan kenyataan itu.
Turut mencetus kekecohan adalah Chong Zemin (PH-Kampar) sambil membangkitkan Peraturan 36(6) dan 36(12) dengan menyatakan Mas Ermieyati membuat sangkaan jahat terhadap King Sing.
Mas Ermieyati bagaimanapun meneruskan perbahasan memaklumkan kenyataan King Sing sangat berbahaya dan menyifatkan kenyataan itu seolah-olah merendah-rendahkan pelancong dari China.
“Tengok sajalah dekat Thailand dan Indonesia tak ada pun sibuk nak ‘please’ (jaga hati) pelancong (sampai nak) menggunakan bahasa mereka sendiri… tetapi kat Malaysia ini kenapa pula nak buat macam tu.
“Ini memalukan… saya rasa pelancong negara Cina tak hairan pun (kalau papan tanda di Malaysia tak guna bahasa Cina), mereka tetap boleh masuk kedai dan masih boleh melawat,” katanya.
Zhemin yang tidak berpuas hati terus cuba mencelah, tetapi dihalang Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yieng sambil menegaskan untuk memberi laluan kepada Mas Ermieyati menggulung perbahasan.
“Sebab itu saya suka cadang kepada Kerajaan Madani tolong tukar Menteri Pelancongan kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga penguatkuasaan atau ganti (sebagai menteri di) KPDN pun tak apa.
“Biar dia (king Sing) pergi ‘raid’ (serbu) pun tak apa sebab memang sesuai (tindakan itu) dengan penguatkuasaan.
Terdahulu Yu Hui ketika bangkit sebagai pembahas menzahirkan sokongannya terhadap kenyataan King Sing yang menyokong kewujudan papan tanda berbilang bahasa.
“Kepelbagaian adalah aset kepada Malaysia. Rakyat Malaysia berbangga kerana mampu bertutur dalam pelbagai bahasa dan hak kepelbagaian bahasa dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya Malaysia berhasrat menjadi destinasi pelancongan yang menarik, kita haruslah mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati dan menghargai kepelbagaian serta bukan mencetuskan kontroversi baru-baru ini,” katanya.
