KUALA LUMPUR 11 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, diminta membuat penjelasan di Dewan Rakyat berhubung kenyataannya yang didakwa mengelirukan mengenai Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika membangkitkan peraturan 36(12) menjelaskan bahawa Azalina membuat kenyataan tidak berfakta dan mengelirukan apabila menyatakan menteri bertanggungjawab dalam sekretariat Lembaga Pengampunan membabitkan kes Datuk Seri Najib Razak adalah Menteri Wilayah.
Kenyataan itu, katanya dibuat Azalina ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar mewakili kementeriannya.
“Umum mengetahui, kenyataan media Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada Februari 2024 yang mana kandungan kenyataan itu dibuat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang jadi sekretariat kepada Lembaga Pengampunan iaitu di bawah kementerian undang-undang
Bagi saya menteri undang-undang (Azalina) mengelirukan Dewan (Rakyat), dan ia adalah penghinaan kepada majlis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, kemudian meminta Takiyuddin menulis kepada beliau berhubung permintaannya yang menuntut Azalina membuat penjelasan di Dewan Rakyat berhubung perkara itu.
Terdahulu, Takiyuddin berkata, penjelasan Azalina penting untuk membersihkan namanya kerana ia membabitkan integriti beliau sebagai bekas menteri yang bertanggungjawab terjhadap portfolio undang-undang sebelum ini.
“Mengikut 36(12) kita boleh hadapkan pihak yang mengeluarkan kenyataan ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, namun saya tidak berhasrat ke arah itu.
“Tetapi memadai (membuat penjelasan), sebab ini membabitkan integriti saya… (orang beranggapan) bekas menteri undang-undang tidak tahu… walaupun dia (Azalina) kata saya lebih berakal dari dia.
“Jadi saya nak dewan ini menetapkan supaya menteri (Azalina) menjaga integriti dia dan integriti dewan, sekurang-kurangnya menjelaskan perkara sama bahawa sekretariat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya adalah BHEUU dan bukannya kementerian wilayah atau menteri wilayah,” katanya.
Sementara itu, Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) ketika bangkit mencadangkan supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat memudahkan proses itu kerana mempunyai kuasa untuk terus memanggil menteri.
Beliau berkata, tindakan itu dilihat lebih akrab selain dapat memendekkan proses berbanding menulis surat secara rasmi.
“Berhubung peraturan 36(12) yang dibangkitkan adalah serius dan lazimnya pada Parlimen sesi lalu, dalam keadaan Kota Bharu dan Ayer Hitam (berhubung penjelasan daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli), Speaker mempunyai kuasa untuk meminta menteri memberi penjelasan berbanding aduan (melalui surat),” katanya.
Johari kemudiannya bersetuju dengan cadangan dibangkitkan Ronald, namun mempertahankan tindakannya kerana perlu merujuk fakta terlebih dahulu.
“Tepat sekali, (Beluran) mentor saya juga… oleh kerana saya tidak mempunyai fakta yang cukup jadi perlu lihat kepada fakta dulu dan menasihati menteri sewajarnya,” katanya.
Nnn
