Terima keputusan pilihan raya – Harris

WASHINGTON – “Kita mesti menerima keputusan pilihan raya ini,” demikian kata calon Demokrat, Kamala Harris selepas muncul buat pertama kali menyampaikan ucapan di Howard University, di sini, semalam Rabu.

Selepas gagal dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kepada Donald Trump kelmarin, Harris sedia maklum perasaan penyokong-penyokongnya dan parti Demokrat susulan kegagalan parti itu kepada calon Republikan.

Suasana di lapangan nyata sangat suram kerana majoriti penyokong Naib Presiden AS itu gagal menyembunyikan kekecewaan mereka.

Kata Harris, semua pihak harus berlapang dada menerima hakikat bahawa Demokrat gagal untuk kembali menguasai tampuk pemerintahan AS dan wakil Republikan, Trump akan kembali ke White House sebagai Presiden.

“Saya tahu ramai yang sedang merasai dan melalui pelbagai emosi sekarang. Saya faham. Namun, kita mesti menerima keputusan pilihan raya ini,” kata Harris dalam ucapan pertamanya selepas tewas kepada, Trump.

Pada Pilihan Raya Presiden AS, Selasa lalu, Harris yang mewakili Demokrat memperoleh sokongan daripada 223 kerusi, sementara Trump (Republikan) selesa dengan kemenangan di 294 kerusi.

Kekalahan pada pilihan raya ini, tegas Harris, tidak membawa maksud, beliau harus menyerah.

“Jangan berputus asa. Ini bukan masanya untuk mengangkat tangan menyerah, tetapi masa untuk menyingsing lengan,” tegasnya merujuk pada usaha yang berlipat ganda perlu dilakukan untuk kembali membawa Amerika ke tahap yang lebih membanggakan.

Kata Harris, inilah masanya “untuk mengatur langkah, menggerakkan tenaga, dan terus terlibat demi kebebasan, keadilan dan masa depan yang kita semua tahu boleh dibina bersama.”

Dalam masa sama, Harris mengesahkan beliau telah bercakap dengan Trump serta mengucapkan tahniah atas kemenangannya.

Harris juga menyatakan bahawa beliau memberitahu Trump bahawa mereka akan menjalankan “peralihan kuasa yang aman” dan beliau akan membantu dalam proses tersebut.

“Menerima keputusan adalah prinsip asas demokrasi. Dalam negara kita, kita berhutang kesetiaan bukan kepada seorang presiden atau parti, tetapi kepada Perlembagaan Amerika Syarikat, kesetiaan kepada hati nurani kita, dan kepada Tuhan,” kata Harris lagi.

Harris berkata, perjuangan untuk “kebebasan, peluang, keadilan dan maruah seluruh rakyat” merupakan “nilai yang mencerminkan Amerika pada tahap terbaik kita”.

Para penyokong yang membanjiri Howard University memberi tumpuan penuh pada ucapan Harris, tidak ketinggalan sejumlah besar yang mengangkat telefon bimbit mereka untuk merakam ucapannya.

Harris bercakap perlahan, dengan nada yang lebih muram berbanding watak pejuang ceria yang ditonjolkan semasa kempen pilihan raya.

Penyokongnya turut memberi sorakan dan tepukan gemuruh dan pada satu ketika – laungan boo yang kuat – apabila Harris  memaklumkan beliau telah menghubungi Donald Trump untuk mengakui kekalahan.

Harris turut menarik perhatian penyokong generasi muda dengan menitipkan nasihat buat mereka.

“Tidak mengapa untuk merasa sedih dan kecewa, tetapi percayalah semuanya akan baik-baik saja…kadangkala perjuangan mengambil masa – itu tidak bermakna kita tidak akan menang. Jangan berputus asa. Anda mempunyai kuasa.”, katanya.

Related posts

Leave a Comment