SEREMBAN 3 Nov – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, memenangi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson dalam pemilihan malam tadi.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard, menewaskan Ketua Bersatu Cawangan Linggi, Zamri Md Said, dalam pertandingan satu lawan satu.
Pemilihan yang dihadiri 165 perwakilan itu turut menyaksikan jawatan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson dimenangi Akklil Aizat Othman manakala naib ketua bahagian dimenangi oleh Mohd Shuhazlan Ali.
Badrul Hisham turut bertanding bagi jawatan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pemilihan parti.
Sementara itu, jawatan Ketua Bersatu Bahagian Seremban dimenangi oleh Ketua Bersatu Cawangan Batang Benar, Wan Nasry Ahmad.
Beliau menewaskan tiga calon lain iaitu Ketua Bersatu Cawangan Nilai, Mohd Herman Hassan; Ketua Bersatu Cawangan Ampangan, Aslam Nawabdin dan ahli Bersatu Cawangan Kampung Gebok, Ahmad Aidy Talib.
Pertandingan jawatan sama di Bahagian Kuala Pilah dimenangi oleh Ketua Bersatu Cawangan Tengkek, Mohd Zuhaimi Md Yusof.
Empat lagi bahagian di Negeri Sembilan iaitu Jempol, Rembau, Rasah dan Jelebu menyaksikan semua calon Ketua Bersatu bahagian menang tanpa bertanding manakala Bahagian Tampin tidak layak mengadakan pemilihan.
Nnn
