RM300 bantu pelajar balik kampung

KOTA KINABALU 3 Nov. – Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini akan menerima bantuan subsidi RM300 untuk pulang ke kampung halaman terutama pada musim perayaan di Sabah.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata bantuan sekali bayar itu, merupakan permintaan daripada pelajar IPT terlibat, sekali gus membuktikan kerajaan negeri sentiasa mendengar keluhan rakyat dengan menunaikan hasrat itu.

Sebagai contoh, katanya pelajar dari Tawau dan Sandakan yang belajar di IPT di Kota Kinabalu, akan menerima bantuan subsidi tersebut sama ada mereka mahu menggunakannya untuk membeli tiket kapal terbang, bas atau pengangkutan lain.

“Pelbagai inisiatif dan bantuan diberikan kepada rakyat khususnya pelajar, adalah untuk melahirkan modal insan berpengetahuan dan berilmu, yang akan membantu membangunkan negeri ini,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sembulan, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata maklumat terperinci mengenai bantuan subsidi itu termasuk jumlah penerima bantuan sedang diteliti pihak berkaitan.

Katanya, pada Ramadan lepas, bantuan subsidi sekali bayar RM600 diberikan kepada pelajar Sabah di IPT awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan, untuk mereka pulang ke kampung masing-masing pada musim perayaan atau cuti semester

“Inisiatif ini dinamakan Graduan Rindu Sabah bagi membantu pelajar kita di sana,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment