OVIEDO (Sepanyol) – Sebanyak 5,000 anggota tentera tambahan dikerahkan menjelang Ahad, bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa bencana alam yang disifatkan Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez sebagai “terbesar.”
Tambahan itu menjadikan penglibatan tentera terbesar sewaktu aman dalam sejarah negara manakala seramai 10,000 anggota polis turut ditempatkan di kawasan terlibat menjelang Ahad.
Sekurang-kurangnya 211 mayat ditemukan setakat Sabtu susulan ribut kuat mencetuskan banjir dahsyat pada Selasa, dengan Wilayah Valencia paling teruk terjejas.
Sanchez mengakui beberapa kawasan masih terputus hubungan dengan rumah dan garaj masih tertutup serta puluhan orang masih hilang.
“Saya sedar tindak balas ini belum mencukupi. Saya tahu terdapat masalah serius: perkhidmatan asas runtuh, kawasan perbandaran ditenggelami lumpur, orang ramai terdesak mencari ahli keluarga mereka, … kita perlu melakukan lebih baik,” katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen dari Madrid.
Kerajaan juga menghantar kapal besar yang dilengkapi unit kediaman dan kemudahan perubatan ke Pelabuhan Valencia, selain menghantar rumah mayat bergerak, konvoi bantuan kemanusiaan, dan petugas untuk memulihkan perkhidmatan asas seperti jalan raya, elektrik, dan air.
Menurut Sanchez, pasukan penyelamat menyelamatkan 4,800 orang dan membantu lebih 30,000 penduduk di rumah mereka.
“Tetapi skala besar bencana ini menjadikan angka-angka itu tidak mencukupi. Bantuan mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat yang diperlukan,” tambahnya.
