LONDON – Ahli Parlimen dari North West Essex, Kemi Badenoch dipilih sebagai pemimpin Parti Konservatif UK, bagi menggantikan bekas Perdana Menteri Rishi Sunak sebagai Ketua Pembangkang.
Bekas setiausaha perniagaan itu diumumkan sebagai pemenang pada Sabtu, menewaskan pesaingnya, Robert Jenrick selepas mendapat undian sebanyak 53,806 berbanding 41,388.
Beliau akan berusaha mengemudi Parti Konservatif untuk kembali berkuasa selepas kekalahan teruk pada pilihan raya yang berlangsung pada Julai lalu.
Parti Konservatif berdepan cabaran besar, dengan mempunyai hanya 121 Ahli Parlimen selepas pilihan raya yang menyaksikan parti itu kehilangan kerusi kepada Parti Buruh, Liberal Demokrat dan Reform.
Tinjauan YouGov yang diterbitkan sebelum keputusan, mendapati empat daripada 10 pengundi mempunyai pandangan negatif terhadap Badenoch, termasuk 29 peratus pengundi Konservatif.
Menurut tinjauan, rakyat Britain cenderung berpendapat yang pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer akan menjadi perdana menteri yang lebih baik.
