KUALA LUMPUR 28 Okt. – “Sementara saya menjadi Yang Dipertua hari ini, mulai 15 Oktober 2024, mana-mana ahli yang diarah keluar atau diperintahkan mengikut Peraturan Mesyuarat, maksud keluar adalah dari Chamber (Dewan) ini,”
Itu pendirian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul berhubung keputusannya tidak membenarkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN Machang) yang digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat Julai lalu, untuk berada di dalam dewan ketika persidangan berlangsung.
Johari memutuskan perkara itu selepas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan Peraturan Mesyuarat 44 (5) selepas tamat sesi soal jawab yang mempersoalkan larangan yang dibuat Johari pada 15 Oktober lalu.
Menurut Johari, Ahli Parlimen Machang boleh mengikuti dari luar tetapi tidak boleh masuk dalam Chamber kerana ini akan menimbulkan banyak masalah.
“Jadi, saya buat keputusan tidak boleh (berada) dalam Chamber,” tegasnya.
Sebelum ini, pada 14 Oktober lalu, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berada di Galeri Awam mengikuti persidangan Dewan Rakyat tetapi keesokannya dilarang berbuat demikian berdasarkan surat yang dikeluarkan Johari.
Johari dalam suratnya menyatakan, Wan Ahmad Fayhsal tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat, termasuk Galeri Awam dan tempat pegawai bertugas, namun masih boleh berada di perkarangan kompleks Parlimen dan mengikuti siaran langsung yang dipapar.
Susulan itu pembangkang mempersoalkan mengapa Wan Ahmad Fayhsal tidak dibenar untuk mengikuti persidangan meskipun dari Galeri Awam Dewan Rakyat.
Membangkitkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), Takiyuddin berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat 44 (5), jika seseorang ahli digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat, dia hendaklah keluar dan tidak ambil bahagian dalam mesyuarat sehingga tamat tempoh penggantungan.
“Beliau tidak duduk di tempat beliau (sebagai Ahli Parlimen), tetapi di Galeri Awam tempat orang kampung boleh datang dari ceruk mana sekalipun duduk sini.
“Tetapi Speaker kata Machang (Wan Ahmad Fayhsal) tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau Ahli Parlimen yang prihatin dan komited, dan ada perkara berkaitan rakyat Parlimennya, boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) Ahli Dewan,” katanya.
Dalam pada itu Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifli Jusoh pula menarik perhatian Johari bahawa sebelum ini Tan Sri Lim Kit Siang juga pernah menghadapi isu yang sama tetapi masih boleh berada di dalam Dewan Rakyat.
Beliau berkata, perkara yang sama turut diberi perhatian dengan membenarkan Wan Ahmad Fayhsal berada dalam Dewan Rakyat.
Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 18 Julai lalu, susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Nnn
