LDP hilang majoriti perintah Jepun

TOKYO – Parti gabungan pemerintah Jepun yang diterajui Parti Demokratik Liberal (LDP) kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pada Ahad, memberi tekanan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba membentuk kerajaan.

Dalam masa sama, parti pembangkang memperoleh lebih separuh kerusi dalam Dewan Rakyat dalam keputusan pilihan raya mengejut itu.

Dengan baki 22 kerusi untuk diisytiharkan, LDP dan rakan gabungannya, Komeito yang lebih kecil, memperoleh 208 kerusi berbanding 235 kerusi pembangkang. Sesebuah parti memerlukan majoriti 233 kerusi, untuk mentadbir secara bersendirian atau tanpa gabuangan.

Ishiba yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai sukar bagaimanapun menyatakan komitmen untuk membentuk kerajaan baharu yang dipimpin LDP walaupun menghadapi tekanan untuk mendapatkan sokongan luar.

Pada masa yang sama pembangkang yang terdiri daripada kumpulan liberal dan konservatif, turut menghadapi cabaran dalam membentuk gabungan disebabkan perbezaan matlamat dasar.

Keputusan itu mencerminkan peningkatan ketidakpercayaan terhadap LDP yang sedang memerintah, didorong oleh skandal dana sulit, menunjukkan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012.

“Kami jauh daripada mendapat kepercayaan rakyat berhubung skandal dana sulit,” kata Ishiba.

Keputusannya untuk membubarkan Dewan Rendah hanya lapan hari selepas memegang jawatan pada 1 Oktober dan mengadakan pilihan raya ternyata membawa padah.

Masalah LDP bertambah buruk pada penghujung kempen apabila didedahkan bahawa 20 juta yen (RM572,881) telah diperuntukkan kepada cawangan tempatan yang diketuai oleh calon yang tidak disokong dan terlibat dalam skandal.

Keputusan ini merupakan cabaran besar bagi Ishiba, yang bercita-cita untuk membina semula LDP menjelang pilihan raya Dewan Kaunselor musim panas depan.

Penganalisis percaya keputusan ini membuatkan peluang Ishiba untuk mencapai matlamat utama beliau mencadangkan reformasi Perlembagaan di Parlimen semakin tipis.

Ketua parti Komeito, Keiichi Ishii, yang baru memegang jawatan sebulan lalu, kehilangan kerusinya, menandakan kekalahan pertama bagi pemimpin Komeito sejak 2009. Jumlah kerusi parti menurun daripada 32 kepada sekitar 22.

Selain itu, Menteri Pertanian, Yasuhiro Ozato dan Menteri Kehakiman, Hideki Makihara turut kehilangan kerusi mereka kepada calon pembangkang.

Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) membuat keuntungan besar, memperoleh lebih daripada 140 kerusi, meningkat daripada 98.

“Pengundi telah memilih parti yang terbaik untuk mendorong reformasi, dan kami mendapat sokongan kerana itu,” kata ketua CDPJ Yoshihiko Noda.

Related posts

Leave a Comment