25,214 NTL dikeluarkan kepada warga asing

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Sebanyak 25,214 Notis Penolakan Masuk (NTL) dikeluarkan kepada warga asing pelbagai negara bagi tempoh Januari hingga September lalu, kata Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, ia adalah usaha dilaksanakan Kementerian Dalam negeri (KDN) untuk mengetatkan pemeriksaan di pintu masuk negara, termasuk bagi membanteras sindiket ‘counter setting’.

Katanya, kerjasama anggota dan pegawai penguatkuasaan pelbagai agensi juga berjaya membongkar 47 sindiket ‘counter setting’ dengan 1,285 anggota dan pendatang tanpa izin (PATI) ditahan tahun ini.

Beliau berkata, pengawasan dan kesediaan terhadap pegawai yang bertugas di kaunter Jabatan Imigresen ditingkatkan di samping mempertingkatkan  rondaan, dan pemantauan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan.

“Penyelia buat lawatan mengejut ke kaunter ini dan pegawai kita yang bertugas di kaunter juga, tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi. Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan ‘body search’ (pemeriksaan badan) ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkenaan langkah tegas kerajaan dalam menangani sindiket ‘counter setting’ pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata, warga asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini bukan sekadar dikenakan sekatan di pintu masuk, malah Jabatan Imigresen juga mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum pengembara ini pergi ke kaunter Imigresen.

“Jika pasukan ini mengesan mereka (pengembara) berlama-lama (di lapangan terbang).. lima, enam, tujuh, lapan jam masih tidak pergi ke kaunter (imigresen), bermaksud mereka sedang tunggu isyarat daripada sindiket, nak maklum mereka kaunter (Imigresen) mana patut pergi.

Hasil rondaan pasukan ini, setakat September tahun ini, kita berjaya menyekat 6,694 orang pengembara daripada masuk kerana (kesalahan) tiada alamat tempat dia menginap di Malaysia, (selain) tak ada wang yang cukup dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen juga pada peringkat akhir memuktamadkan perolehan bagi Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS).

“Sistem ini membolehkan Imigresen membuat saringan awal bagi pengembara yang melakukan perjalanan ke Malaysia. Belum pun mereka sampai, kita sudah ada akses terhadap senarai mereka, sekali gus membolehkan kita membuat pemeriksaan awal.

“Kita juga pada fasa akhir menaik taraf CCTV yang dilengkapkan audio dan visual di kaunter pemeriksaan (imigresen). Ini antara langkah tegas diambil Imigresen,” katanya.

Secara keseluruhannya, Saifuddin berkata, tiga langkah dilaksana agensi bawah kementeriannya bagi membendung kegiatan ‘counter setting’ iaitu membanteras sindiket membawa warga asing, meningkatkan kawalan penguat kuasa anggota yang bertugas di kaunter serta meningkatkan penggunaan teknologi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment