KUALA LUMPUR 10 Okt. – GISB Holdings (GISBH) akan dituduh di mahkamah berdasarkan empat kes yang disiasat terhadap syarikat itu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Katanya, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan arahan berkaitan dan proses pertuduhan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Empat tuduhan itu membabitkan dua kertas siasatan mengikut Seksyen 12, Antipemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran 2007 manakala dua lagi Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993.
Mohd Shuhaily berkata, pada masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 97 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk satu kertas siasatan jenayah terancang mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan dan satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.
“Daripada jumlah itu, 12 kertas siasatan membabitkan sembilan individu sudah dituduh dengan 34 pertuduhan.
Sebanyak 20 pertuduhan bagi Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sembilan pertuduhan bagi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, tiga pertuduhan bagi Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, satu pertuduhan bagi Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, bercakap pada sidang media Op Global di sini, hari ini, beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyelamatkan seramai 625 mangsa sejak Op Global dijalankan terhadap GISBH pada 11 September lalu.
Katanya , semua mangsa yang diselamatkan dalam Fasa 1 Op Global hingga Fasa 4 itu berusia lingkungan dua bulan hingga 28 tahun, yang pada masa ini mangsa berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setakat ini seramai 553 mangsa ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah jagaan JKM di seluruh negara. Baki 72 lagi sudah diserahkan kepada ahli keluarga mereka,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata, beliau yakin keselamatan mangsa yang juga anak-anak ahli GISBH terjamin semasa berada dalam jagaan JKM walaupun ada ibu bapa dan penjaga yang disyaki ahli GISBH berusaha menuntut kembali kanak-kanak itu.
“Saya yakin JKM tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan kanak-kanak terbabit secara mudah kepada ahli keluarga mereka sebelum melalui tapisan dan mereka harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan jika ingin menuntut kembali anak masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis tidak akan membenarkan mereka yang ingin mengambil anak tanpa melalui piawaian dan pemeriksaan yang ketat.
“Saya juga faham ada antara ibu bapa yang melantik beberapa peguam untuk menuntut anak mereka, namun ini adalah negara demokrasi dan mereka boleh melakukannya dan itu tidak jadi masalah,” katanya.
Nnn
