GISBH: 16 lagi ditahan bawah SOSMA

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Seramai 16 ahli GISB Holdings (GISBH) yang ditahan reman sebelum ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 58 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penahanan semula itu turut dilakukan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali.

Katanya, individu lain yang ditahan di bawah SOSMA adalah pimpinan tertinggi rangkaian GISBH.

“Penahanan ke atas semua suspek dibuat selepas tempoh reman berakhir pada hari ini dan mereka akan ditahan selama 28 hari,” katanya dalam sidang media khas Operasi Global di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, PDRM sudah menahan seramai 415 individu sejak Op Global dilancarkan di mana 35 individu masih berada di dalam tahanan reman, manakala 273 individu dijamin dan sebanyak 37 individu dibebaskan tanpa syarat.

“Dua individu diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi dilaksanakan PDRM membuka 97 kertas siasatan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk satu kertas siasatan jenayah terancang di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Shuhaily memberitahu, PDRM memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISB Holdings (GISBH) di luar negara membabitkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52.4 juta.

Bagaimanapun pihaknya masih menunggu pengesahan harta itu daripada pihak berkuasa luar negara yang terbabit bagi tindakan lanjut pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menggunakan pendekatan melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL), pihak berkuasa negara terbabit dan agensi-agensi berkaitan.

“Kita sudah mendapat maklum balas daripada rakan sekerja (pihak berkuasa) yang memaklumkan ada tiga premis berhenti beroperasi. Papan tanda premis itu juga diturunkan, malah tingkap juga ditutup dengan plastik hitam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat berkaitan keberadaan dan pergerakan ahli GISBH di negara itu.

“Sebelum ini, dimaklumkan sebanyak 19 negara yang ada premis GISBH. Kita masih menunggu maklum balas daripada sembilan lagi pihak berkuasa,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment