WASHINGTON – Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) Philippe Lazzarini menggambarkan Semenanjung Gaza sebagai “tidak lagi dapat dikenal pasti” .
Katanya, tiada penghujung kepada keganasan yang melanda Asia Barat, selepas setahun penuh kehilangan dan penderitaan mendalam.
“Gaza menjadi tanah perkuburan bagi puluhan ribu orang, termasuk ramai kanak-kanak dan hampir keseluruhan penduduknya hilang tempat tinggal,” kata Lazzarini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di wilayah Palestin.
Merujuk kepada situasi di Tebing Barat yang diduduki, Lazzarini memberi amaran tentang keganasan yang semakin meningkat di mana Lubnan adalah mangsa terbaharu konflik yang semakin meluas.
“Orang awam menanggung harga yang sangat tinggi. Serangan udara oleh tentera Israel membunuh dan menyebabkan ratusan ribu orang hilang tempat tinggal,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan UNRWA di Gaza, sambil memberi amaran bahawa ruang operasi agensi itu semakin mengecil di tengah-tengah serangan Israel.
Untuk rekod sejak perang bermula, sebanyak 226 anggota UNRWA terbunuh di Gaza.
(FOTO UNRWA)
