PENAMPANG 10 Okt. – Sabah meminta pengecualian daripada kerajaan Pusat berhubung cadangan penamatan subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Timbalan Ketua Menteri, Dr Jeffrey G Kitingan berkata ini kerana Sabah bersama Sarawak adalah negeri yang memiliki jurang kemiskinan tinggi sekali gus memerlukan subsidi membabitkan barangan keperluan asas.
“Tidak adil kalau subsidi yang baru terima ditarik semula sedangkan kita banyak sumbangan. Biarlah Sabah bersedia mempertingkatkan penghasilan dan keupayaan agar rakyat kita bukan lagi tergolong dalam kategori miskin tegar.
“Oleh sebab itu, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bercadang mewujudkan Pihak Berkuasa Pemasaran Pertanian Sabah untuk membantu rakyat kita.
Kita sudah memulakan pusat-pusat pengumpulan hasil. Setakat ini sudah ada tujuh pusat pengumpulan dan kita bercadang untuk menambah lebih banyak daripada semasa ke semasa,” katanya selepas merasmikan pejabat STAR Bahagian Moyog di sini, semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, semalam berkata kementeriannya bakal mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Langkah berkenaan wajar dipertimbangkan, katanya, berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan sebanyak RM100 juta sebulan.
Dalam pada itu beliau berkata, Sabah memerlukan peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk aktiviti pertanian dan lebih banyak dana untuk menangani kemiskinan tegar.
Katanya, baru-baru ini kerajaan Sabah telah menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah dan antara lain perancangannya ialah meningkatkan sistem pengairan dan hasil padi.
“Kami tidak mahu mengambil alih kerja tanpa perubahan dalam belanjawan. Jika ia tetap sama, kami tidak akan mempunyai pelan baru. Kali ini, kami mahu belanjawan Kementerian Pertanian ditingkatkan,” katanya.
(Foto fb Dr Jeffrey G Kitingan)
