Jawatankuasa pemulihan kanak-kanak GISB

SHAH ALAM 9 Okt . – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya diwujudkan segera jawatankuasa berhubung pemulihan kanak-kanak diselamatkan dari GISB Holdings (GISBH).

Selangor Royal Office menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, baginda mahu perkara ini dikendalikan dengan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak yang terlibat.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab bagi penghasilan kertas kerja yang terperinci untuk mengenal pasti kaedah pemulihan terbaik membabitkan lebih 600 kanak-kanak berkenaan.

Menurut hantaran itu, jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Sultan Selangor serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak berkenaan seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Semalam, media melaporkan seramai 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang terkait GISBH mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.

Nnn

 

.

Related posts

Leave a Comment