SEPANG 8 Okt. – Johor tidak akan mundur jika Jumaat dikekalkan sebagai hari cuti yang juga memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di negeri itu, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.
Beliau yang tidak setuju dengan perubahan cuti itunmulai tahun depan berkata rakyat Johor yang bukan Islam pula menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor.
Katanya, perubahan itu juga mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri.
“Johor adalah sebuah negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu dari kumpulan Negeri-Negeri Melayu tidak bersekutu. Sama seperti negeri-negeri Kelantan, Trengganu dan Kedah.
Di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini, cuti hujung minggu ialah pada hari Jumaat dan Sabtu,” katanya dalam satu tulisan di Facebooknya hari ini.
Dalam tulisannya, beliau menarik perhatian mengenai negeri-negeri Melayu tidak bersekutu yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris yang mengenakan pengaruh budaya ke atas tanah jajahannya seperti negeri-negeri Selat: Melaka dan Pulau Pinang serta negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Katanya, kesemua negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini dipaksa bercuti mengikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.
Beliau berkata, Johor dirahmati Allah dengan segala kemajuaan duniawi dari segi kebendaan dan material berbanding dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia walaupun cuti hujung minggunya selama ini adalah pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam. Di Johor adalah antara negeri yang paling banyak masjid. Hari Jummat punya pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.
Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor,” katanya.
Beliau menarik perhatian bahawa perubahan untuk menjadikan Jumaat sebagai hari bekerja dan Ahad hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun lalu tetapi tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnnya.
“Jadi pada pandangan saya, walaupun sebagai rakyat biasa, sebagai ahli Parlimen biasa dari negeri Johor saya tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi saya masih ada satu hak untuk bersuara. Hak itu tidak boleh ditekan dan dirampas dari saya,” katanya.
Hassan dengan rendah hati berkata, selaku anak jati Johor, anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor, beliau menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan perintah menukar Jumaat menjadi hari bekerja dan menggantikannya dengan hari Ahad sebagai hari cuti seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini.
Nnnn
