PH tak perlu minta maaf – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA 8 Okt. – “Tak perlu (Pakatan Harapan) minta maaf. Jangan usik rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, kita harus hormat antara satu sama lain,”. Itu peringatan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa yang sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menegaskan kenyataan berhubung gesaan PH memohon maaf itu sama sekali tidak mewakili pendirian UMNO sebaliknya kenyataan peribadi.

“Selagi presiden atau ketua parti tak keluarkan sebarang kenyataan, itu adalah berbentuk peribadi,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini, hari ini.

Ingatan itu sebagai reaksi Ahmad Zahid ketika diminta mengulas gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mahu PH memohon maaf secara terbuka kepada UMNO susulan serangan terbuka kepada parti itu sejak berdekad lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, isu berkenaan (gesaan mohon maaf) tidak berbangkit dan meminta supaya mana-mana pemimpin UMNO tidak sesekali menimbulkan sebarang provokasi berhubung perkara itu lagi.

“Itu adalah kenyataan Nur Jazlan atau Dr Akmal (Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Nur Jazlan berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September lalu menunjukkan tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.

Nur Jazlan berkata, PH perlu sedar dan wajar meminta maaf kepada UMNO susulan pelbagai tohmahan, tuduhan dan persepsi yang mereka cipta sejak berpuluh tahun lalu hingga menyebabkan parti itu dipandang kotor oleh pengundi.

Menurut Ahmad Zahid,  perbezaan pandangan dan serangan antara pemimpin parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menjejaskan kerjasama baik yang dibina bersama.

Malah, katanya, pagi ini beliau sudah bertemu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kepemimpinan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan bagi membincangkan isu terbabit.

“Tadi sebelum dan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri selain presiden, pengerusi dan setiausaha parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan.

“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan mesti berjalan ke depan untuk menjalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa saja kemungkinan termasuk PRK atau Pilihan Raya Umum,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment