KUALA LUMPUR 8 Okt. – Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pelantikan itu adalah detik bersejarah apabila Dr Ramli merupakan Orang Asli pertama menjadi Ahli MKT UMNO.
“Pelantikan ini membuktikan komitmen parti untuk menghargai dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang termasuk orang asli.
UMNO akan terus komited untuk memperjuangkan suara dan hak-hak masyarakat Orang Asli dan memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama memacu kegemilangan negara dalam landskap politik negara,” katanya.
Sementara itu dalam kenyataan melalui media sosial, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu mesyuarat MKT malam tadi bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja dalam kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, ia sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen parti itu bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Beliau berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, memberi isyarat jelas rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan.
“Yang berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya
Katanya, mesyuarat juga menegaskan, kemenangan di PRK itu tidak harus menjadikan UMNO angkuh dan bongkak, sebaliknya memastikan mandat diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.
Pada PRK itu, BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah meraih 27,995 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.
Dalam pada itu, Asyraf berkata, ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang.
Nnn
