KKM larang jual dua produk kosmetik

PUTRAJAYA 2 Okt. – Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata produk berkenaan ialah Snow White Treatment Cream dan Kak Ell Krim Rawatan yang mengandungi racun merkuri.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau mengingatkan penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk terbabit dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya

Beliau berkata merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan untuk menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment