SEPANG 27 Sept. – Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan menjunjung kasih atas limpah perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima permohonan ampun sebagaimana yang dititahkan baginda, semalam.
Dalam kenyataannya hari ini, Menteri Besar Kedah itu juga berazam akan mematuhi titah nasihat Sultan Selangor untuk lebih berhati-hati serta menjaga tutur kata khususnya ketika berada di Selangor.
“Mudah-mudahan sifat pengampun dan kebaikan hati yang ada pada DYMM Tuanku Sultan akan membawa lebih banyak kebaikan serta menambahkan lagi daulat dalam pemerintahan DYMM Tuanku serta menjadikan Negeri Selangor Darul Ehsan negeri yang diberkati serta dilimpahi rahmat oleh Allah SWT,” katanya.
Sanusi turut mendoakan Sultan Sharafuddin dipanjangkan usia oleh Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat walafiat untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerintah penuh adil dan cemerlang.
Semalam, Sultan Sharafuddin berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.
Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office memaklumkan bahawa baginda mempertimbang dan menerima permohonan ampun dan maaf itu, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Terdahulu pada Rabu, Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor berikutan kenyataan beliau yang dianggap menghina dan tidak menghormati baginda pada Julai tahun lepas.
Nn
