KLUANG 27 Sept. – Sebanyak 61,397 pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota esok yang melibatkan 20 pusat dan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang.
Kempen 14 hari berakhir tengah malam ini sebelum pengundi memilih sama ada calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, atau wakil Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Kedua-dua calon ini juga layak mengundi di mana Syed Hussien akan mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana manakala Mohamad Haizan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.
Selasa lepas, pengundian awal PRK DUN Mahkota diadakan melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis, selain SPR turut mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September.
Selesai proses pengundian petang esok, proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.
Bagi melancarkan proses pengundian, sebanyak 1,126 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK itu, selain SPR juga menubuhkan satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Allahyarham yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.
PRK DUN Mahkota ialah PRK keempat tahun ini selepas PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor, PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang) dan PRK DUN Nenggiri (Kelantan).
DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN.
Nnn
