KOTA BHARU 12 Sept. – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, menggesa Teresa Kok menarik balik kenyataan beliau dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam di Malaysia berhubung kenyataan berkaitan pensijilan halal.
Ketuanya, Mohd Azmawi Fikri berkata kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu telah mengguris hati umat Islam seluruh negara.
Menurut Azmawi, respons Teresa yang kononnya mewajibkan Pensijilan Halal ‘ Memalukan Negara’ telah menyentuh sensitiviti umat Islam dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Dr Muhammad Akmal Salleh, bangkit mengecam kenyataan Naib Pengerusi DAP itu atas keceluparan yang dilihat mempersendakan Islam.
Azmawi dalam kenyataannya juga menarik perhatian mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar yang hanya menjawab soalan wartawan mengenai persijilan halal di negara ini.
“Pada pemahaman kami pada 5 September lalu, jelas Menteri Hal Ehwal Agama menyatakan bahawa tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal, namun begitu ‘jika’ mahu diwajibkan beberapa akta perlu dipinda dan banyak agensi akan terlibat.
“Tiada cadangan pun yang dikeluarkan untuk mewajibkan sijil halal kepada mana mana pengusaha restoran atau industri dan maklum balas Teresa yang kononnya mewajibkan Pensijilan Halal ‘Memalukan Negara’ inilah yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
“Tiada sebarang paksaan kepada mana-mana pihak untuk dapatkan sijil halal, tetapi ia sebenarnya memberikan nilai tambah kepada pengusaha berkaitan,” katanya.
Mohd Azmawi berkata, Teresa tidak perlu mengeluarkan komen mempertikai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang hanya menjawab soalan wartawan mengenai persijilan halal di negara ini.
Menurutnya, pensijilan halal dipohon hanya jika pengusaha restoran atau industri makanan mahu memasuki pasaran Muslim dan ia terpakai bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia mengiktiraf inisiatif dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.
“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, ingin menegaskan bahawa kami mempertahankan dan menyokong penuh kenyataan Dr Akmal dalam memastikan Islam di Malaysia tidak dipersendakan oleh mana-mana pihak dan tindakan saman oleh Teresa terhadap Dr Akmal hanya akan mengeruhkan lagi hubungan politik yang telah dijalinkan,” katanya.
Nnnn
