SEPANG 8 Sept. – Selepas dikecam pelbagai pihak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tampil menjelaskan beliau tidak bermaksud mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau tidak menghormati agama Islam
Dalam kenyataannya, Naib Pengerusi DAP itu berkata, sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, beliau mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum berhubung pensijilan halal itu.
Teresa berkata, beliau tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan berhubung pensijilan halal melalui saluran dalaman.
Pada masa yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar membangkitkan cadangan itu melalui forum terbuka tanpa mengadakan libat urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.
Kelmarin, Teresa dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.
Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Malah, hari ini polis membuka kertas siasatan terhadap Teresa bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.
Teresa menjelaskan beliau akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ingin memanggilnya untuk memberi keterangan.
Teresa juga berkata beliau menyokong usaha kerajaan, khususnya Jakim untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman.
“Sebenarnya standard yang digunapakai oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia. Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 bila saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini,” katanya.
Tambahnya, dalam banyak pertemuan dengan rombongan dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang dibangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya ingin mengeksport makanan ke negara ini atau negara Islam yang lain.
Nnnn
