PARIS: Bekas Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) dan perunding Brexit, Michel Barnier dinamakan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai perdana menteri baharu negara itu.
Pelantikan itu dibuat kira-kira dua bulan selepas pilihan raya parlimen awal yang diumumkan Macron, menyaksikan gabungan kiri meraih kemenangan.
Bagaimanapun tiada parti atau pakatan politik yang memperoleh kerusi yang mencukupi dalam Perhimpunan Kebangsaan, mengakibatkan parlimen tergantung dan ketidaktentuan politik selama berminggu-minggu.
Barnier, 73, mempunyai kerjaya politik selama beberapa dekad dan adalah tokoh berpengaruh dalam parti Republikan kanan tengah Perancis.
Beliau sebelum ini adalah Menteri Alam Sekitar di bawah Francois Mitterrand, Menteri Luar ketika di bawah Jacques Chirac dan Menteri Pertanian di bawah Nicolas Sarkozy.
Beliau juga pernah beberapa kali berkhidmat sebagai pesuruhjaya EU dan juga bekas ketua perunding Brexit EU.
